.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Khamis, 30 Januari 2014

Semakan Status Ujian Kompetensi ICT KPM

Masih ingat lagi dengan Ujian Kompetensi ICT yang telah diadakan kepada guru-guru oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lepas? Sekarang anda sudah boleh membuat semakan status ujian kompetensi ICT anda.

Semakan Status Ujian Kompetensi ICT KPM


Saya sudah dan Alhamdulillah BERJAYA mencapai tahap kompetensi ICT seperti yang dikehendaki. Bagi membuat semakan anda hanya perlu memasukkan Nombor Kad Pengenalan sahaja. 

Boleh buat semakan di sini : 


Dalam semakan status tersebut akan dinyatakan samaada anda melepasi tahap kompetensi ICT atau pun tidak. Juga disertakan beberapa maklumat asas perkhidmatan anda bagi memastikan status tersebut adalah kepunyaan anda. 

Namun, tidak dinyatakan pula apa-apa tindakan atau apa yang bakal menanti mereka yang TIDAK melepasi tahap kompetensi. Sekalipun pada masa awal ujian tersebut diadakan, ada juga bunyi-bunyi yang mengatakan guru yang tidak melepasi tahap kompetensi akan dihantar berkursus ICT. Itu belum pasti. Walaubagaimanapun, sama-sama lah kita nantikan. 

Semoga berjaya!

Kesan Rokok Terhadap Perkembangan Bayi

Rokok adalah bahan yang sangat merbahaya dan boleh memberi kesan buruk kepada kandungan, terutamanya bagi ibu yang sedang mengandung. Antara kesannya adalah seperti bayi mati dalam kandungan, mengurangkan bekalan oksigen kepada bayi dan juga boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.

Kesan Rokok Terhadap Perkembangan Bayi


Boleh tengok video di bawah bagi penjelasan lebih lanjut.



Kenapa Berbahaya Merokok Semasa Kehamilan?
Asap rokok mengandungi lebih daripada 4 000 bahan kimia merbahaya dan sekurang-kurangnya 60 agen penyebab kanser. Asap rokok yang meresap melalui darah akan melimpahi aliran darah yang menjadi satu-satunya sumber oksigen dan nutrien bagi bayi.

Dalam lebih 4 000 bahan kimia berbahaya ini, terdapat 2 yang paling utama iaitu nikotin dan karbon monoksida. Kedua-dua bahan ini boleh mengurangkan bekalan oksigen mencukupi kepada bayi. 

Nikotin dapat menyempitkan saluran darah sekaligus membuatkan bayi terpaksa bernafas dengan menggunakan aliran darah yang kecil dan penuh tekanan. Lebih menyedihkan adalah sel darah merah yang sepatutnya mengangkut oksigen juga terpaksa membawa bersama karbon monoksida.

Kekurangan bekalan oksigen dapat merencatkan perkembangan fetus. Secara purata, merokok semasa kehamilan akan menggandakan peluang untuk bayi lahir lebih awal atau pun mempunyai berat yang kurang. 

Kelahiran anak pramatang yang berpunca daripada merokok

Selain daripada itu, perkembagan anggota badan bayi juga boleh terjejas. Peparu bayi mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik terutamanya ketika awal kelahiran. Sekiranya mereka sudah mula bernafas dengan tanpa menggunakan bantuan, berkemungkinan besar mereka akan terus menghadapi masalah pernafasan seperti asthma.

Paling menyedihkan adalah apabila tabiat buruk ini memberi kesan kepada perkembangan otak bayi. Anak yang dilahirkan daripada seorang ibu yang merokok kebiasaannya akan menghadapi masalah pembelajaran, lembam, masalah sikap dan tahap IQ yang rendah.


Isnin, 27 Januari 2014

Penjara dan Denda RM148 000 : Guru Besar Salah Guna Kuasa

Seorang guru besar di Alor Setar, Kedah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM148,500 atas lima tuduhan salah guna kuasa membabitkan bekalan pakaian seragam kokurikulum sekolah pada 2008 dan 2009 bernilai RM32,400.
      
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Zakaria Md Lazim, 56, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tandop Besar (SKTB), Kuala Nerang dekat sini.
      
Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR Kuala Nerang Enterprise (ZNR), sebagai pembekal set pakaian Puteri Islam bernilai RM3,300 yang dia mempunyai kepentingan kerana pemilik ZNR merupakan adiknya sendiri, Ros Adimas Md Lazim.




Penjara dan Denda RM148 000 : Guru Besar Salah Guna Kuasa

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, Zakaria juga dituduh menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bernilai RM6,300, set pakaian Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bernilai RM8,200 dan set pakaian Pengakap bernilai RM8,700 pada November 2008.
      
Zakaria juga didakwa bagi pertuduhan kelima, menggunakan jawatannya untuk memilih ZNR sebagai pembekal set pakaian seragam PBSM, Pengakap, Puteri Islam dan TKRS bernilai RM5,900 di SKTB pada September 2009.

Zakaria didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kesemua pertuduhan.
      
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan (hari ini), manakala tertuduh akan dipenjara 15 bulan lagi jika gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan. Dia tidak membayar denda itu.
      
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nizan Azdahari. - Bernama


Sumber

Ahad, 26 Januari 2014

Guru Me'Lembu'kan Murid : Hukuman Yang Wajar?

Mungkin ramai yang dah tahu mengenai kisah seorang guru yang telah menyuruh muridnya memakai loceng dan memakan rumput di sebuah SJKC Khai Meng di Sungkai, Perak. Guru tersebut bertindak sedemikian kerana murid tersebut tidak menyiapkan kerja rumah.

Guru SJKC Khai Meng Perak suruh murid pakai loceng dan makan rumput macam lembu


Pelajar tersebut dihukum memakai loceng selama 5 jam, daripada waktu rehat sehingga waktu balik. Gambar mereka dirakamkan oleh cikgu tersebut serta ditunjukkan kepada rakan-rakan lain. Pelajar juga diugut bahawa gambar tersebut akan dimuat naik ke laman sosial. Sumber


Guru SJKC Khai Meng Perak suruh murid pakai loceng dan makan rumput macam lembu
 
Semuanya mula meletup bila ibubapa kepada murid tersebut telah membuat satu laporan polis. 

"Anak saya dan kawannya ada meminta untuk pergi rehat kerana sudah waktu rehat tetapi anak saya dan kawannya telah diberi rumput dan ciktu itu cakap ‘lembu tak buat kerja rumah mesti kena makan rumput’,” kata Yarnis dalam laporannya.

Sumber

Siasatan yang dilakukan polis mendapati insiden denda tersebut memang berlaku, tetapi tindakan memaksa makan rumput pula tak ada. Akhirnya isu ini dianggap "selesai" selepas satu perbincangan antara polis, murid, ibubapa dan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Perak dan UMNO Perak. 

Guru SJKC Khai Meng Perak suruh murid pakai loceng dan makan rumput macam lembu

Semua pihak dikatakan berpuashati dengan penjelasan guru tersebut yang menunjukkan nya tidak berniat untuk menghina. Kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Perak. 


Dalam menangani isu seperti ini sebenarnya kita patut lah merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Hukuman Biasa Terhadap Murid-Murid Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran.

"Tindakan hukuman seperti mengetuk dan menyekel kepala murid, menampar, mencubit sehingga lebam, memulas telinga, membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara berkumpulan tidak dibenarkan"

Secara jujur saya katakan tindakan menghukum dan mendenda murid yang tidak menyiapkan kerja rumah berlaku di mana saja. Tindakan tersebut adalah perlu dalam menangani permasalahan yang berterusan berlaku dalam kelas. 


Dalam kes ini, saya melihat tindakan guru tersebut adalah tidak profesional, bersifat emosi dan juga mengenakan hukuman yang tidak bersifat mendidik. Hukuman sedemikian hanya akan memberikan sedikit sahaja nilai positif kepada murid tersebut. Nilai negatif nya yang lebih banyak akan lebih memberi kesan kepada murid.

Tidak mustahil selepas ini rakan pelajar akan mula menggelar mereka 'lembu'. Pelajar akan rasa trauma nak ke sekolah kerana malu diejek. Akan ada sedikit gangguan emosi dan psikologi. Perkara ini boleh mewujudkan rasa rendah diri dan pelbagai lagi perasaan negatif. Tak mustahil juga pelajar tersebut akan terus berdendam dengan guru tersebut. Bukan satu perasaan yang baik.

Guru SJKC Khai Meng Perak suruh murid pakai loceng dan makan rumput macam lembu

Saya yakin bahawa guru tersebut sebenarnya sayang akan pelajar nya. Mahu betul-betul anak tadi terdidik sempurna seperti orang lain. Walau bagaimanapun, guru sepatutnya mampu menangani perkara tersebut dengan lebih baik dan terkawal tanpa sebarang emosi yang tak perlu. 


Sebenarnya, ada banyak lagi cara yang kreatif dalam memberi hukuman dan denda kepada pelajar. Kreatif dan juga berbentuk pendidikan. Antaranya adalah dengan menyuruh pelajar mengulang dan salin semula kerja rumah secara berganda namun dalam kadar yang rasional dan difikirkan sesuai. 

Guru SJKC Khai Meng Perak suruh murid pakai loceng dan makan rumput macam lembu

Tak perlu lah untuk kita lihat isu ini dari sudut ras dan politik, sebaliknya melihat dari sudut kewajaran tindakan guru tersebut dalam menangani permasalahan yang berlaku dalam kelas. 

Memang pelajar tersebut WAJAR dihukum atas kesalahannya kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Namun ADAKAH WAJAR pula bentuk hukuman yang dikenakan oleh guru tersebut kepada muridnya?

Anda jawabkan sendiri..

Jumaat, 24 Januari 2014

Langkah Pengendalian dan Penyimpanan Darah Yang Didermakan

Bagaimanakah prosedur simpanan darah yang didermakan? Terdapat 6 langkah bagi mengendalikan darah yang diderma sehingga siap digunakan oleh penerima. 

Bagaimanakah darah yang diderma disimpan?

Langkah 1
Penderma diberi kaunseling percuma oleh pihak klinik. Penderma akan diperiksa sama ada layak atau pun tidak untuk mendermakan darah. Rekod derma darah juga akan disemak bagi memastikan kali terakhir penderma mendermakan darah adalah sekurang-kurangnya 90 hari yang lalu. 


Langkah 2
Penderma akn mendermakan darah. Darah yang didermakan adalah lebih kurang 400 cm3. Darah diambil melalui vena pada lengan. Darah kemudiannya disimpan dalam beg darah yang berisi natrium sitrat. Tujuannya adalah bagi menghalang pembekuan darah. Masa yang diambil bagi menyalurkan satu beg darah adalah kira-kira 5-10 minit.

Beg darah mengandungi 400cm3 darah


Langkah 3
Darah yang diderma kemudiannya akan diuji bagi menentukan kumpulan darah ABO. Ini adalah langkah penting bagi memastikan kesesuaian darah penderma dengan darah pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Jika tidak memastikan kumpulan yang betul, proses pemindahan darah akan bertambah sulit.


Langkah 4
Saringan darah dilakukan bagi sebarang tanda penyakit seperti Hepatitis B dan C, AIDS dan penaykit pemindahan darah yang lain. Kehadiran virus seperti virus imunodefesiensi manusia (HIV) dan bahan yang tidak dikehendaki juga akan dikenalpasti. Beg darah yang dicemari akan disingkirkan.

Darah yang diderma perlu diuji


Langkah 5
Setelah dipastikan darah adalah benar-benar bersih dan sihat, maka darah akan disimpan dalam peti sejuk pada suhu 4 C selama 5  - 10 hari ataupun lebih lama setelah ditambahkan dengan glukosa. Secara spesifiknya komponen darah boleh disimpan seperti berikut:
Sel darah merah - dalam peti sejuk selama 42 hari
Platlet - pada suhu bilik selama 5 hari
Plasma - dibekukan selama 1 tahun

Darah yang didermakan dipindah melalui vena pada lengan


Langkah 6
Langkah terakhir adalah pesakit menerima darah yang diderma. Tetapi sebelum itu, bagi memastikan tahap kebersihan dan kesihatan, maka darah tersebut diuji lagi sekali. Kemudiannya proses pemindahan darah ini diteruskan pada kadar dan suhu yang betul juga adalah melalui vena pada lengan.


Kepentingan Menderma Darah

Manusia mungkin kehilangan banyak darah akibat pendarahan yang berlebihan. Pendarahan yang berlebihan ini mungkin berpunca daripada kecederaan ataupun penyakit. Jadi, darah tersebut perlulah digantikan melalui pemindahan darah. Apabila perkara ini berlaku, maka beberapa perkara perlu diambil kira seperti kesesuaian darah penderma dengan darah penerima.

Kepentingan Menderma Darah

Antara syarat lain bagi penderma darah adalah seseorang itu mestilah sihat, berat melebihi 50kg dan berumur antara 17 hingga 60 tahun. Seseorang itu boleh menderma sehingga 0.5 liter darah pada satu-satu masa. Derma darah terakhir juga adalah sekurang-kurangnya 90 hari sebelum.

Walaubagaimanapun, ada beberapa faedah yang berkaitan dengan kepentingan menderma darah.

1. Boleh menyelamatkan nyawa seseorang
Bagi orang-orang yang berisiko tinggi kehilangan darah seperti akibat kemalangan dan juga ibu yang melahirkan anak, darah yang didermakan adalah sangat penting. Dalam keadaan kecemasan seperti itu, mereka sangat memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera. Sudah tentu pada saat kecemasan itu, jika tiada bekalan darah yang didermakan, proses ini akan menyulitkan lagi keadaan pesakit. 


2. Boleh membantu seseorang dengan penyakit yang berkaitan dengan darah
Derma darah juga penting dalam membantu pesakit yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan darah. Antara penyakit yang berkaitan dengan darah adalah hemofilia, anemia dan talasemia yang berkaitan dengn sel darah merah. Manakala penyakit kegagalan sumsum tulang dan leukimia pula adalah penyakit yang berkaitan dengan platlet.

Mereka ini sangat memerlukan darah bagi menjalani kehidupan biasa seperti kita. Tanpa bekalan darah yang berterusan, maka perkara ini boleh mengundang maut kepada pesakit. Justeru itu, darah yang diderma adalah sangat penting.


Kumpulan Darah Penderma Kepada Penerima

Apabila ada perkara yang memerlukan pemindahan darah, kita perlu pastikan kumpulan darah penderma dan penerima adalah sama atau serasi. Perkara ini disistemkan dengan lebih jelas melalui Sistem ABO yang dibangunkan oleh Karl Landsteiner pada tahun 1901. Jika darah yang digunakan adalah tidak sama dan serasi, darah tersebut akan menggumpal. Hal ini akan membunuh penerima darah tersebut.



Berikut adalah jadual yang boleh digunakan bagi menentukan samada darah penderma tadi adalah sesuai atau tidak dengan darah penerima.


Bagaimana untuk memahami jadual di atas?
Jika penderma adalah berdarah kumpulan A, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan darah A dan juga AB.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan B, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan B dan juga AB.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan AB, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan darah AB sahaja.

Jika penderma adalah berdarah kumpulan O, maka penerima boleh terdiri daripada kumpulan A, B, AB dan O.


Penderma Universal
Kumpulan darah O boleh menderma kepada SEMUA kumpulan darah, tetapi hanya boleh menerima daripada kumpulan darah O sahaja. 

Oleh itu kumpulan darah O juga dikenali sebagai Penderma Universal kerana boleh mendermakan darahnya kepada semua kumpulan.


Penerima Universal
Mankala Kumpulan darah AB pula boleh menerima daripada SEMUA kumpulan darah, tetapi hanya boleh menderma kepada kumpulan AB sahaja.

Oleh itu kumpulan darah AB juga dikenali sebagai Penerima Universal kerana boleh menerima darahnya daripada semua kumpulan.



Kumpulan Darah Manusia

Darah manusia adalah terdiri daripada plasma, sel darah merah, sel darah putih dan platlet. Kumpulan darah manusia pula dikelaskan kepada empat kumpulan yang berbeza. Keempat-empat kumpulan tersebut adalah A, B, AB dan O yang juga dikelaskan mengikut Sistem ABO.

Kumpulan Darah Manusia

Sebenarnya selain daripada Sistem ABO ini, terdapat hampir 32 jenis sistem lain yang digunapakai bagi mengklasifikasikan kumpulan darah. Namun yang paling popular adalah yang menggunakan Sistem ABO yang diasaskan oleh Karl Landsteiner pada tahun 1901. Kemudian sistem ini dimurnikan lagi dengan Sistem Rhesus yang diusahakan secara bersama dengan Alexander S Wiener pada tahun 1937.

Jenis kumpulan darah adalah terwaris dan disumbangkan oleh kedua ibu bapa. Mengikut budaya Jepun, mereka percaya bahawa jenis kumpulan darah ini boleh mempengaruhi personaliti, watak dan kesesuaian seseorang dengan individu lain. 

1. JENIS DARAH A ADALAH PETANI (FARMERS) 
Mereka berdarah A adalah golongan pemalu tetapi mementingkan kesempurnaan dalam senyap. Mereka sangat bertimbang rasa terhadap orang lain dan tidak pandai menipu. Mereka setia dengan kawan dan rakan sekerja. Mereka boleh menjadi perahsia, kuat, tetapi jarang sekali berkongsi perasaan mereka. Mereka ini sukar dipuaskan dan serius dalam hidup. 

2. JENIS DARAH B ADALAH PEMBURU (HUNTERS)
Mereka berdarah B adalah golongan yang periang, memiliki semangat dan aura personaliti yang kuat dan tersendiri. Dalam waktu yang sama, mereka tidak menghiraukan apa orang lain fikir tentang mereka dan liar. Mereka boleh menjadi sangat lemah, pemalas dan kurang sabar. Namun, mereka juga sangat bersungguh-sungguh (passionate) dengan apa yang mereka mahukan.
 
3. JENIS DARAH AB ADALAH AHLI KEMANUSIAAN (HUMANISTS)
Mereka sukar dimengerti, gemar menjauhkan diri, selalu menggunakan logik daripada mengikut gerak hati. Selain itu, AB sangat bagus menguruskan kewangan, walaupun berfungsi sebagai pendamai, kadang kala AB bersikap talam dua muka.
 
4. JENIS DARAH O ADALAH PEJUANG (WARRIORS)
Mereka "outgoing","expressive", dan "passionate". O sangat bermotivasi dan mempunyai ciri pemimpin semulajadi. Dikurniakan rasa kewujudan yang kuat, tidak takut mengambil risiko jika mereka yakin mereka akan menang, seorang ahli sukan semulajadi.


Berikut adalah Fakta menarik mengenai kumpulan darah manusia
1. Pemindahan darah yang pertama dalam sejarah telah berlaku seawal tahun 1667. Jean-Baptise telah memindahkan darah sebanyak 1 liter dari seekor kambing ke seorang pemuda.
2.  Seorang perempuan memiliki sekitar 4-5 liter darah dalam tubuh, sedangkan seorang lelaki mempunyai 5-6 liter darah.
3. 2 juta sel darah merah akan mati pada setiap saat.
4. Dengan mendermakan setengah liter darah, kita telah menyelamatkan 4 nyawa manusia.
5. Secara puratanya, terdapat sehingga 40% manusia yang mempunyai darah jenis kumpulan O.



Khamis, 23 Januari 2014

Ucapan Muhyiddin di Forum Pendidikan Dunia 2014

Penerapan nilai, etika dan kerohanian dalam sistem pendidikan global adalah penting untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, selain menolak dilema ‘pendidikan tanpa roh,’ kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucaptamanya pada Forum Pendidikan Dunia 2014 di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia penting untuk melahirkan insan sahsiah dan berketerampilan. 


Ucapan Muhyiddin di Forum Pendidikan Dunia 2014

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau percaya ketamadunan dan pembangunan kemanusiaan yang bersandarkan nilai itu akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan dibuat manusia.



“Peranan agama dan pendidikan agama tidak boleh diketepikan daripada sistem pendidikan kita.

“Menidakkan nilai, etika dan kerohanian tidak lagi boleh diterima kerana lebih 5 bilion penduduk dunia mengamalkan agama masing-masing.

“Falsafah pendidikan Malaysia juga dibina atas nilai itu. Kejayaan dan pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang agama dan budaya boleh digunakan untuk menyeimbangi kesan pendidikan sekular,” katanya.

Forum pendidikan terbesar tahunan itu dihadiri 114 menteri pendidikan dari seluruh dunia. 


“Dalam aspek itu, perlu juga ada kaedah baru untuk mengukur prestasi pendidikan (negara), selain penanda aras konvensional seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Pentaksiran Murid Antarabangsa (PISA).

“Ini sesuai dengan nilai Timur yang melihat ‘pembelajaran adalah mengenai kehidupan dan bukan mengenai memilikinya’ seperti sekarang,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun banyak kemajuan dicapai dalam isu akses kepada pendidikan sejak 2000, 57 juta kanak-kanak masih tidak bersekolah, manakala dua pertiga daripada buta huruf dewasa adalah wanita.


Dasar lebih adil

“Dasar dan strategi pendidikan mesti adil dan inklusif supaya ia menyediakan ruang saksama untuk semua kanak-kanak di semua peringkat menimba ilmu.

“Dalam konteks keadilan gender, perlu ada perhatian khusus berhubung akses pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga menekankan kepentingan pendidikan untuk pembangunan mapan (ESD) dalam melaksanakan agenda global untuk masa depan.

Katanya, transformasi dalam aspek ini memerlukan integrasi antara keperluan tradisi dan persekitaran baru bagi memastikan masyarakat pada masa depan terus menikmati kualiti hidup yang baik.

Muhyiddin berkata, atas kesedaran itu juga, Malaysia merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan rancangan komprehensif bagi masa depannya.

“Kita mahu rakyat Malaysia yang melalui sistem pendidikan mempunyai semua nilai diperlukan untuk menjadi masyarakat global.

Malaysia menekankan pendidikan Islam dan moral, menggalakkan sekolah mengambil bahagian dalam projek atau aktiviti dengan sekolah rakan dari negara lain.

“Kami juga menggalakkan usaha sama antara universiti kita dengan universiti antarabangsa yang mempunyai cawangan di Malaysia, pada peringkat kakitangan dan pelajar,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, meningkatkan kesedaran pelajar mengenai cabaran dihadapi manusia di seluruh dunia akan menjadi komponen penting pendidikan. 



Sumber

 

Rabu, 22 Januari 2014

8 Langkah Penyiasatan Saintifik

Apakah yang dimaksudkan dengan Penyiasatan Saintifik? 
Penyiasatan Saintifik adalah kaedah sistematik bagi menyelesaikan masalah dalam sains.

Bermaksud, satu kaedah yang lebih teratur dan mengikut susunan tertentu yang membantu kita untuk memahami sesuatu fenomena alam yang berlaku. Secara automatiknya juga, kaedah ini membantu kita untuk menyelesaikan permasalahan dalam sains.


8 Langkah Penyiasatan Saintifik



8 Langkah Penyiasatan Saintifik
 Langkah 1 : Mengenalpasti Masalah
Kita mulakan penyiasatan kita dengan memahami apakah masalah sebenar yang kita hadapi. Langkah ini juga akan membantu kita untuk menentukan tujuan ujikaji (eksperimen) yang bakal kita laksanakan.


Langkah 2 : Membuat Hipotesis
Setelah memahami apa permasalahan dan juga tujuan kita nak buat eksperimen, maka kita perlu untuk buat hipotesis yang boleh 'membimbing' kita dalam mencari penyelesaian. Hipotesis adalah pendapat yang dirasakan benar dan boleh digunakan sebagai alasan bagi permasalahan kita tadi, walaupun kebenarannya masih belum dibuktikan.


Langkah 3 : Merancang eksperimen
Bersandarkan kepada hipotesis yang kita buat, maka kita perlu menguji kebenaran hipotesis tersebut. Untuk itu, kita perlu merancang sebuah eksperimen. Maka, kita kena fikirkan radas dan bahan yang digunakan serta pemboleh ubah yang berkaitan.

Radas : merujuk kepada peralatan yang kita gunakan (eg : Bikar)
Bahan : merujuk kepada bahan kimia, larutan dan pepejal yang kita gunakan (eg: Air suling)

Pemboleh ubah dimanipulasikan : perkara / keadaan yang kita ubah-ubah bagi melihat kesannya
Pemboleh ubah bergerak balas : perkara / keadaan yang berubah akibat daripada perubahan yang kita lakukan pada pemboleh ubah dimanipulasikan tadi
Pemboleh ubah dimalarkan : perkara / keadaan yang kita tetapkan sepanjang penyiasatan 


Langkah 4 : Menjalankan Eksperimen
Seterusnya, kita boleh lah menjalankan eksperimen mengikut seperti yang dirancangkan. Prosedur yang telah ditetapkan perlu diikuti dengan cermat dan betul susunannya bagi mendapatkan hasil yang betul. 


Langkah 5 : Mengumpulkan Data
Oleh kerana kita menjalankan eksperimen yang melibatkan perubahan  keadaan (eg: suhu, masa) maka adalah perlu untuk kita merekodkan semua data yang diperolehi daripada eksperimen tersebut. Data boleh direkodkan dalam bentuk jadual bagi memudahkan proses seterusnya.


Langkah 6 : Menganalisis dan Mentafsirkan Data
Data yang dikumpulkan tadi kemudiannya dianalisis dan juga ditafsirkan. Dengan erti kata, menyatakan apakah hubungan antara pemboleh ubah dimanipulasikan dengan pemboleh ubah bergerak balas.


Langkah 7 : Membuat Kesimpulan
Setelah hipotesis diuji dengan menjalankan eksperimen, tibalah masa untuk membuat kesimpulan. Kesimpulan dinyatakan dengan sama ada menerima atau pun menolak hipotesis.


Langkah 8 : Menulis Laporan
Akhir sekali, bagi membolehkan hasil eksperimen kita juga memberi manfaat kepada orang lain, maka satu laporan ditulis.


Cuba tonton video di bawah bagi memahami langkah-langkah dalam penyiasatan saintifik.





Semoga adik-adik pelajar beroleh manfaat. Memahami proses penyiasatan saintifik ini membolehkan adik-adik pelajar menyelesaikan lebih banyak masalah sains pada masa akan datang.



Selasa, 21 Januari 2014

20 000 Cikgu Bahasa Inggeris Akan Dilatih Tahun Ini

Kementerian Pendidikan akan melatih sebanyak 20,000 guru Bahasa Inggeris (BI) tahun ini bagi meningkatkan kemahiran mengajar dalam kalangan para guru.
 
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi perancangan tahun hadapan, jumlah yang sama akan turut dilatih bagi memperkasakan kemahiran guru Bahasa Inggeris.

20 000 Cikgu Bahasa Inggeris Akan Dilatih Tahun Ini

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) itu adalah bagi memastikan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dapat dicapai.

"Penekanan terhadap kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris sentiasa dititikberatkan dan pada tahun lalu sahaja sebanyak 5,000 guru telah dilatih.

"Mulai bulan depan sebanyak 9,000 orang guru Bahasa Inggeris akan memulakan latihan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyerahan peserta Fulbright English Teaching Assistant (ETA) 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Bonnie S. Gutman.

Peserta ETA itu terdiri daripada 100 siswazah dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) untuk membantu guru Bahasa Inggeris tempatan mengajar para pelajar menggunakan bahasa antarabangsa tersebut dengan lebih sistematik.

Sementara itu, Idris berkata, siswazah terbabit akan ditempatkan selama 10 bulan bermula 2 Februari ini di sekolah rendah dan menengah terpilih sekitar Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Mereka akan menjadi pembantu kepada guru di dalam bilik darjah bagi memudahkan kefahaman pelajar bertutur dalam Bahasa Inggeris.

"Selain itu, mereka akan turut menganjurkan aktiviti kokurikulum termasuk mengadakan kem Bahasa Inggeris ketika musim cuti sekolah untuk menarik perhatian pelajar," katanya.

Beliau menjelaskan, program ETA yang bermula pada 2012 hanya disertai oleh 50 peserta dan ditempatkan di Terengganu, Pahang dan Johor.

"Pada tahun lalu, program ini telah diperluaskan ke Perak dan jumlah sekolah yang terlibat ditingkatkan kepada 75 buah.

"Pihak kementerian juga akan mengkaji dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan jumlah penyertaan sekolah dan perkara itu perlu dibincangkan dengan kerajaan AS terlebih dahulu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program kerjasama kali ketiga antara Malaysia dengan AS itu yang membabitkan kos RM9 juta setahun dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.


Isnin, 20 Januari 2014

Mengapa Manusia Adalah Organisma Yang Kompleks?

Persoalan yang menarik kan?. Mengapakah manusia organisma yang kompleks? Jom kita jawab sama-sama persoalan ini.

Mengapa Manusia Adalah Organisma Yang Kompleks?

Badan manusia terdiri daripada berbillion-billion sel. Maka, pengkhususan sel adalah penting, iaitu bermaksud setiap sel mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. Oleh kerana setiap jenis sel menjalankan fungsi yang tertentu, ini dinamakan pembahagian kerja.

Pembahagian kerja antara sel, tisu, organ dan sistem akan memastikan manusia dapat berfungsi dengan lancar dan cekap.

Manusia juga merupakan organisma yang unik. Sebabnya? Manusia adalah berbeza daripada organisma lain dan mempunyai otak yang kompleks.

Mengapa Manusia Adalah Organisma Yang Kompleks?

Otak yang kompleks ini dapat membezakan perkara yang betul dan salah. Selain itu, otak juga mampu mencipta dan melakukan banyak fungsi khusus. Dan yang paling hebat, tentulah kerana otak kompleks ini menyebabkan manusia untuk mampu bercakap dan berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa.


Muhyiddin Hadir Forum Pendidikan Dunia 2014

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan kerja tiga hari ke sini, bermula hari ini, akan menghadiri Forum Pendidikan Dunia 2014.

Mesyuarat tahunan terbesar menteri pendidikan dari lebih 100 negara itu akan membincangkan amalan masa depan untuk memperkasa sistem pendidikan sejagat.


Forum ke-11 bertemakan Pelan untuk 2015; Membuat Dasar Sebagai Pemangkin Untuk Sedekad: Ukuran, Capaian dan Daya Usaha itu menyediakan landasan untuk menteri pendidikan berbincang visi bagi 2015 sebagai batu loncatan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Forum Pendidikan Dunia 2014

Kongsi pengalaman

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi, berkata Muhyiddin adalah antara menteri pendidikan yang akan berucap pada forum itu untuk berkongsi pengalaman Malaysia, termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.

Katanya, sempena lawatan, Timbalan Perdana Menteri juga akan melawat Imperial College London. 


Wakil dari negara India
 
Beliau juga menyaksikan Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Imperial College London dan melancarkan Pusat UTM untuk Karbon Rendah Pengangkutan, projek kerjasama dengan kolej terkemuka itu,katanya di sini, semalam.

Muhyiddin juga akan diberi penerangan oleh Cambridge English Language Assessment - laporan awal mengenai Projek Dasar: Mengukur Standard Bahasa Inggeris dan Pengenalan Dasar Untuk Sekolah di Malaysia.


Bincang sistem pendidikan


Projek Malaysia Cambridge bertujuan mengkaji semula sistem pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia dan untuk mentransformasinya supaya pelajar dibekalkan pengetahuan, skil, sikap dan keyakinan untuk berdepan cabaran abad ke-21 seperti digariskan dalam PPPM.


Selain itu, beliau akan menghadiri majlis makan malam bersama Majlis Eksekutif United Kingdom dan Eire (UKEC) 2013/2014 dan sesi sarapan pagi dengan ahli Kelab UMNO United Kingdom. 


Sumber

Ahad, 19 Januari 2014

Isu Guru Mualaf Tak Dibenarkan Pakai Tudung

Lambat sket saya sedar akan isu ini disebabkan kesibukan menyediakan bahan pengajaran minggu ini. Agak terkejut juga bila terbaca mengenai isu ini di sebuah laman web berita. Isu serius, tapi tak dipandang. Mungkin juga tenggelam sebab isu kangkung pada minggu lepas.

Isu Guru Mualaf Tak Dibenarkan Pakai Tudung

Kronologinya bermula apabila Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Nan Ya, Teluk Sengat, Johor telah menyuruh seorang guru Mualaf, Choi Yi Shan, 25 tahun (nama Islam dirahsikan) membuka tudung selain mengancam keselamatannya sekiranya enggan berbuat demikian jika mahu terus mengajar di sekolah tersebut.

Hampeh kan?. 

Tak logik akal langsung jika nak dikaitkan pemakaian tudung cikgu tersebut dengan kebolehan dia mengajar dalam kelas!

Tak ada langsung rasa hormat kepada agama rasmi negara ini. Apatah lagi tindakannya tu juga menafikan hak individu di Malaysia ini untuk bebas beragama dan mengamalkan agama masing-masing. Apa punya penyakit daa..

Susulan daripada 'arahan hampeh' tersebut, maka guru mualaf tadi telah membuat satu laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya. Penduduk Kampung Teluk Sengat pula yang marahkan insiden tersebut juga telah menggantung beberapa poster dan kain rentang bagi mencemuh tindakan pihak pengurusan sekolah tersebut.

Isu Guru Mualaf Tak Dibenarkan Pakai Tudung

Maka semakin ramai lah yang tampil memaksa pihak pengurusan sekolah agar memohon maaf kepada guru mualaf tersebut.

Kemudian satu perjumpaan mohon maaf telah diadakan yang mana dalam perjumpaan tersebut, pihak berkenaan telah memohon maaf secara terbuka kepada guru mualaf tersebut. Guru mualaf tadi juga sebenarnya telah dipindah kan ke sebuah sekolah rendah lain yang berdekatan dalam PPD yang sama.

Isu Guru Mualaf Tak Dibenarkan Pakai Tudung

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai perkara ini, berkata kejadian seperti ini sepatutnya tidak berlaku malah semua rakyat Malaysia perlu menghormati adat, agama dan amalan masing-masing.

"Ini tidak sepatutnya berlaku tetapi baguslah dia (lembaga pengurusan sekolah) dah ambil keputusan mohon maaf. Sepatutnya tak berulang kerana hal-hal sebegini menyentuh hak seseorang"

Semakin ramai rakyat Malaysia yang nampaknya makin tak sensitif dengan perkara-perkara sensitif yang sepatutnya kena fikir 10 kali untuk bertindak atau bercakap. Semoga insiden ini tidak berulang dan jadi pengajaran yang berguna untuk semua orang. 

Lagi-lagi untuk jenis yang tak reti nak hormat orang!


p/s: Kasihan! Rupa nya ramai lagi yang takut dengan bayang-bayang sendiri...

Jumaat, 17 Januari 2014

Kepentingan Unit Piawai Dalam Kehidupan Seharian

Banyak masalah yang mungkin timbul sekiranya unit piawai tidak digunakan. Sebagai contohnya di beberapa buah negara, rakyat mereka menyukat barang dengan menggunakan tahil dan kati. Manakala bagi negara lain pula, ada yang menggunakan paun dan auns. Sudah tentu ini akan mengelirukan. Lebih-lebih lagi jika berlaku pertukaran maklumat antara 2 negara tersebut.

Kepentingan Unit Piawai Dalam Kehidupan Seharian
Berat sebenar satu kilogram sesuatu bahan adalah dirujuk pada prototaip kilogram antarabangsa di atas

Maka bagi menyelesaikan masalah tersebut, unit piawai atau pun juga dikenali sebagai Unit S.I diperkenallkan pada tahun 1960. Penggunaan unit ukuran yang sama ini juga memudahkan saintis untuk berkomunikasi di peringkat antarabangsa. 


Kepentingan Unit Piawai
1) Memahami dan menyeragamkan unit yang berbeza bagi kuantiti fizikal yang digunakan di negara berbeza
2) Lebih mudah membuat perbandingan bagi perkara yang melibatkan pengukuran
3) Memperbaiki komunikasi
4) Memahami kajian dan eksperimen saintifik di negara lain
5) Memudahkan perkongsian maklumat dan pemindahan ilmu dan teknologi


Masalah Yang Mungkin Timbul Sekiranya Unit Piawai Tidak Digunakan
Situasi 1
Ramli diminta oleh cikgunya untuk membuat ukuran padang sekolah dengan menggunakan unit ukuran kaki. Pada keesokan hari, Stephanie pula disuruh oleh cikgunya untuk mengukur padang yang sama juga dengan menggunakan unit ukuran kaki. Stephanie dan Ramli mendapat ukuran yang berbeza. Ini kerana saiz badan Stephanie lebih kecil berbanding Ramli dengan langkah yang lebih besar.

Situasi 2
Mak Timah menyuruh anaknya, Khadijah untuk membeli kain langsir sepanjang 3 depa. Tibanya di kedai, Khadijah membeli kain langsir tersebut seperti yang disuruh ibunya. Bila kembali ke rumah, didapati kain yang dibeli tersebut tidak mencukupi untuk digunakan sebagai langsir disebabkan ukurannya yang lebih pendek. 

Situasi 3
Pak Samad mahu menjual padinya kepada Pak Ali. Walaubagaimanapun, ukuran yang diberikan kepada Pak Ali adalah menggunakan unit guni. Persetujuan dicapai dengan Pak Samad akan menyerahkan 3 guni beras untuk ditukarkan dengan 2 ekor kambing Pak Ali. Pada hari yang dijanjikan, Pak Ali tidak mahu meneruskan urusniaga kerana mendapati guni beras yang digunakan oleh Pak Samad jauh lebih kecil daripada yang dibayangkan olehnya.


Khamis, 16 Januari 2014

PBS Sains Tingkatan 1 : Senarai Tugasan Band 6

Bagi memudahkan urusan adik-adik pelajar menyiapkan tugasan PBS Sains Tingkatan 1, terutamanya bagi Band 6, maka saya kumpulkan kesemua tajuk di sini. Ada 7 tugasan Band 6 yang perlu disiapkan untuk tingkatan 1. Entri ini lengkap dengan soalan dan juga senarai semak bagi membantu adik-adik pelajar memahami kehendak tugasan dan juga lengkap beserta contoh. Semoga menjadi panduan yang berguna dan dimanfaatkan oleh kita bersama. Sila SHARE dengan kawan-kawan lain juga ya! Rujuk juga dari masa ke semasa bagi update terkini.. ;)


PBS Sains Tingkatan 1 : Senarai Tugasan Band 6


B6D1E1
Membahaskan masalah yang mungkin timbul sekiranya unit piawai tidak digunakan melalui pelbagai bentuk komunikasi


B6D2E1
Membincangkan mengenai mengapa manusia adalah organisma yang kompleks dalam pelbagai bentuk persembahan


B6D3E1
Membuat penyelesaian masalah dengan mengaplikasikan konsep ketumpatan dan timbul tenggelam dalam bentuk prototaip

B6D4E1
membuat pembentangan dalam pelbagai bentuk persembahan mengenai :
 kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
 amalan guna semula dan kitar semula bahan
 kepentingan memulihara sumber tenaga
 penggunaan dan pengurusan sumber tenaga yang cekap


B6D5E1
membuat pembentangan dalam pelbagai bentuk persembahan mengenai :
 pencemaran udara
 kesan pencemaran udara
 cara mengekalkan udara supaya bersih dan


B6D6E1
menjelaskan melalui penulisan kreatif mengenai :
 mengapa kita perlu memulihara sumber tenaga,
 cadangan tentang cara-cara penggunaan tenaga secara cekap


B6D7E1
menghuraikan dalam pelbagai bentuk persembahan bagi beberapa penyelesaian masalah mengenai prinsip pengembangan dan pengecutan jirim dalam kehidupan harian