About Me

Pengalaman Jumpa Guru Cemerlang JUSA C

Kesempatan cuti sekolah sempena Good Friday dan Easther Monday, telah saya gunakan untuk menjenguk ibubapa di kampung. Sudah lah tidak berkesempatan nak pulang semasa cuti bulan Mac yang dahulu, awal cuti bulan Jun juga mungkin tak sempat nak balik ke kampung sebab bawak budak berkursus di KL nanti. Maka sememangnya cuti ini adalah masa terbaik untuk saya kembali ke kampung halaman.

Dalam pada menghabiskan masa-masa berharga bersama keluarga, beberapa rancangan yang diatur dalam perjalanan pulang juga berjalan seperti yang dirancang. Ini termasuklah perjumpaan dengan orang hebat dalam dunia pendidikan, iaitu Tuan Haji Rodzli Hashim merangkap YDP Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM). Lebih hebat lagi, Tuan Haji Rodzli juga merupakan salah seorang daripada hanya 36 Guru Cemerlang seluruh Malaysia dengan gred JUSA C!

Cikgu Hailmi dan Tuan Haji Rodzli Hashim, GC Geografi Jusa C merangkap YDP Majlis Guru Cemerlang Malaysia
Cikgu Hailmi dan Tuan Haji Rodzli Hashim, GC Geografi Jusa C merangkap YDP Majlis Guru Cemerlang Malaysia

Alhamdulillah kesempatan bertemu dengan beliau amat sesuai sekali ketika saya juga sedang cuba mengatur langkah lebih panjang dalam haluan Guru Cemerlang. Saya cuba dapatkan sebanyak mungkin ilmu dan tips berguna daripada Tuan Haji yang memang langsung tak lokek nak berkongsi ilmu dan pengetahuan beliau.

Banyak perkara yang dapat saya korek ilmu daripada Tuan Haji. Pengalaman beliau dalam bidang pendidikan memang tak dapat nak dinafikan lagi. Perkongsian ilmu dari pengalaman sendiri dari Tuan Haji juga menyebabkan saya rasa sangat kerdil. Masih banyak yang perlu dipelajari. Dan masih banyak perlu diperbaiki.

Antara persoalan yang sering menjadi pertanyaan saya dan rakan-rakan adalah mengenai keanggotaan Majlis Guru Cemerlang Malaysia.

Adakah perlu dipohon? atau keahlian adalah secara automatik?

Menurut Tuan Haji Rodzli, keahlian Guru Cemerlang dalam Majlis Guru Cemerlang Malaysia adalah secara automatik. Walaubagaimanapun bergantung juga kepada tahap keaktifan Penyelaras Negeri yang telah dilantik. Sebab tu kadang-kadang ada yang langsung tidak pernah terima apa-apa maklumat berkenaan MGCM ini.

Dan daripada pengalaman bertemu dengan Tuan Haji Rodzli, serta beberapa lagi orang-orang yang hebat, saya mendapati mereka semua ada beberapa persamaan yang kita boleh ambil buat pengajaran.

1. Langsung tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman
2. Sangat positif dalam setiap perkara dan perbuatan
3. Bersemangat untuk diri sendiri dan untuk mendorong orang lain
4. Sentiasa fikirkan penyelesaian, bukan alasan

InshaAllah, saya harapkan pertemuan ini mampu menjadi titik tolak yang lebih baik kepada perhubungan dengan guru-guru senior yang hebat dan berpengalaman. Banyak 'rahsia' mereka yang kita perlu cungkil dan curahkan kepada anak-anak murid kita. Semoga kita juga pada suatu hari nanti, dapat berada pada tahap yang sama seperti Tuan Haji dan guru-guru cemerlang gemilang di luar sana.

Terima kasih juga buat Tuan Haji Rodzli atas kesudian untuk meluangkan masa bersama saya!



Catat Ulasan

0 Ulasan