.

.

KARTiKEL

Isnin, 17 Februari 2014

Masih Ada PMR?

Sedang melayan perasaan pada petang hari ini, saya terbaca satu artikel yang saya rasa menarik untuk dikongsikan dengan semua pihak yang terlibat dengan PBS, pelajar, guru dan ibubapa. Di dalam ketegangan semua pihak yang menyokong, mempertahankan dan menentang PBS, saya rasa ini adalah bacaan yang boleh membuka mata banyak pihak. Semoga semua berlapang dada dalam setiap perkara. InshaAllah, setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya!

Masih Ada PMR?


Kesediaan kerajaan untuk mengkaji secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pasti disambut penuh kelegaan oleh lebih 400,000 guru di seluruh negara.

Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini bahawa Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan mengenai dua perkara, iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak, pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian dalam masa terdekat, menunjukkan Muhyiddin dapat memahami permasalahan yang dihadapi guru.


Pelbagai keluhan didengar, dicoret dan disebarluaskan melalui media sosial mengenai kelemahan ketara PBS, khususnya kerenah sistem pelayan yang tidak dapat dicapai dengan baik, sekali gus menyebabkan guru terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi semata-mata mahu merekodkan prestasi dan pencapaian pelajar. Jika berjaya pun, pasti akan mengalami masalah tersangkut yang tidak berkesudahan.


Prihatin keluhan guru

Kita percaya pengalaman Muhyiddin ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1), Putrajaya, dengan melihat sendiri masalah yang diketengahkan dan mendengar sendiri daripada guru mengenai kelemahan sistem pelayan untuk melaksanakan PBS dapat difahami beliau. Timbul persoalan, kenapa pegawai kanan dari peringkat pengarah dan ketua pengarah di kementerian terbabit tidak dapat memahami keluhan guru sehingga terpaksa menteri atau Timbalan Perdana Menteri turun padang untuk menyelesaikannya.

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan diperkenalkan di sekolah menengah pada 2012. Ini bermakna pada 2016, murid sekolah rendah akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibuat penambahbaikan dan pada 2014 pula, Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

Sokong kaji semula PBS

 
Cukuplah pelbagai kerja perkeranian dibebankan kepada guru, yang suatu ketika dulu dibuat oleh kerani atau pembantu pejabat. Sekurang-kurangnya pengumuman Muhyiddin itu ibarat terlepasnya beban berat di pundak setiap guru yang memang mengharapkan PBS dikaji semula, malah sampai ke tahap mahu ia dibatalkan kerana ia amat membebankan guru.

Tidak ada gunanya kita mempunyai sistem atau perkakasan terbaik, sedangkan perisian untuk melaksanakan kerja itu tidak mampu menampung kehendak pekerjaan. Inilah senario sebenar dihadapi PBS ketika ini.

Sebagai ibu bapa, kita pasti tertanya-tanya mengenai masa depan PMR dan sewajarnya keputusan mengenai mahu melaksanakan atau tidak PBS dibuat seberapa segera. Di sinilah rasionalnya rumusan Muhyiddin: “Kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.”

Hakikatnya, pelaksanaan PBS menjadi tanggungjawab semua peringkat di jabatan dan kementerian, bukan guru sahaja. Budaya untuk menguji keberkesanan ‘sistem’ sudah ketinggalan zaman. 


Sumber
 

2 ulasan:

  1. Moga dikaji dan dipertimbangkan dari semua aspek.

    BalasPadam
  2. Diharap pihak terbabit membuat keputusan yg betul. Jangan jadikan "pelajar" sebagai mangsa keadaan. Hate to be "rat lab".

    BalasPadam