.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Jumaat, 31 Mei 2013

Sumber Baru Tenaga : Gas Metana Beku Yang Cantik

Memang cantik melihat buih-buih putih yang membeku di dalam ais di Tasik Abraham, Alberta, Kanada. Namun tak ramai yang tahu, buih-buih itu bukan buih biasa, sebaliknya adalah buih gas metana yang terperangkap di dalam ais dan membentuk metana hidrat yang berwarna putih.

Hidupan yang mati di dalam air, akan diuraikan oleh bakteria dan akhirnya membebaskan gas metana. Tetapi perubahan cuaca yang menyebabkan air bertukar menjadi ais, telah menyebabkan gas metana yang terhasil tersebut, terperangkap di bawah lapisan ais. Buih-buih yang terhasil membentuk corak dan bentuk yang menarik dengan warna yang unik.

Fenomena menarik ini tidak hanya terjadi kepada tasik tersebut sahaja, malahan banyak lagi tasik-tasik sekitar kawasan Artik. Jepun juga merupakan negara pertama yang dapat mengekstrak gas metana tersebut bagi digunakan sebagai sumber tenaga yang baharu. 

Dengan keadaan nya yang membeku dan memerangkap gas metana, diramalkan sehingga 8 juta tan gas metana dibebaskan ke udara sepanjang tahun daripada tasik tersebut sahaja. Keadaan ini sudah tentu menjadi penyumbang penting kepada pemanasan global.












Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 1 : Mengisi Borang Permohonan)

Saya kongsikan 11 tips panduan memohon Guru Cemerlang dengan rakan-rakan guru. Saya namakan ini sebagai Fasa 1 iaitu Fasa Semasa Mengisi Borang Permohonan Guru Cemerlang. Jom kita tengok apa perkara-perkara penting yang perlu dipertimbangkan sebelum anda memohon Guru Cemerlang.

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 1 : Mengisi Borang Permohonan)

1. Fahami jawatan Guru Cemerlang
Dalam kebanyakan kes, ramai rakan guru yang tersalah anggap mengenai jawatan Guru Cemerlang. Ramai yang menganggap Guru Cemerlang adalah guru yang SANGAT CEMERLANG; hebat akademik, hebat kokurikulum, pegang jawatan penting dalam HEM, dan serba serbi HEBAT!. 

Sebenarnya, jawatan Guru Cemerlang adalah merujuk kepada guru-guru yang cemerlang dan menyerlah dalam mata pelajaran yang diajar ataupun di dalam bidang pengkhususan dengan tujuan untuk dijadikan role model, sumber inspirasi dan motivasi kepada guru lain untuk sama-sama bersaing meningkatkan lagi tahap pencapaian kualiti P&P di sekolah masing-masing.

Jadi, jika anda seorang guru yang memang CEMERLANG dalam subjek kepakaran anda, silalah mohon walaupun anda kurang sumbangan dalam bidang HEM dan Kokurikulum. Kerana yang akan diberi lebih penilaian adalah sumbangan anda pada subjek kepakaran anda! 

p/s: Teringat dengan kata-kata seorang penceramah Nazir, "Jika anda ahli sukan wakil Malaysia sekalipun, penilaian utama hanya akan dinilai pada sumbangan anda dalam bidang subjek yang dipohon!"


2. Pilih Subjek Kepakaran dengan tepat
Pemilihan subjek kepakaran juga merupakan sesuatu yang penting semasa membuat permohonan Guru Cemerlang. Ini kerana faktor seperti jumlah waktu mengajar dan juga tahun pengalaman mengajar subjek kepakaran memberikan markah yang berbeza-beza kepada guru yang memohon semasa penilaian. Rakan guru boleh rujuk jadual di bawah bagi pemilihan subjek kepakaran yang lebih tepat dan sesuai untuk anda.


Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 1 : Mengisi Borang Permohonan)

Jika rakan guru masih ragu-ragu dan tidak pasti subjek mana yang menjadi pilihan, semaklah semula senarai tugas anda pada tahun-tahun lepas. Pilih subjek yang mana anda lebih banyak sumbangan/tugas/peranan

Pastikan juga subjek yang dipilih itu merupakan subjek yang telah anda ajar sekurang-kurangnya 3 tahun berturut-turut, terutamanya jika anda berpindah-pindah sekolah. Tidak menjadi masalah juga jika anda memilih subjek bukan major anda, selagi subjek yang dipohon telah diajar sekurang-kurangnya 3 tahun dan ke atas.

Kesilapan memilih subjek kepakaran, kadang-kadang mampu memberikan keputusan yang mengecewakan.

 
3. Isi Borang Permohonan dengan betul dan lengkap
Seterusnya, isilah borang permohonan anda dengan teliti, lengkap dan tepat. Kesilapan dan sikap ambil mudah semasa mengisi borang permohonan akan menyebabkan permohonan anda ditolak/kurang menyerlah.

Pastikan juga perkara-perkara yang dikehendaki berada dalam keadaan yang sedia dikemaskini. Sebagai contohnya:
a) Maklumat diri dan perkhidmatan (Tarikh lantik, sah dll)
b) Kenyataan Perkhidmatan (boleh rujuk dengan kerani sekolah)
c) Perisytiharan Harta (sahlaku dalam 5 tahun tanpa sebarang perubahan harta)
d) LNPT (3 tahun berturut-turut)
e) esei (cuba buat sendiri dan nyatakan hasrat anda dari hati dan naluri anda)
f) Senarai Tugas (senaraikan SEMUA bidang tugas/peranan/sumbangan anda dalam Akademik, HEM  dan Kokurikulum dengan lengkap)

Jika tidak pasti, bidang tugas tersebut perlu dimasukkan atau tidak dalam borang permohonan, masukkan saja kesemuanya. Penilai akan menilai borang anda dan memilih perkara yang akan diberi markah.. Tak salah mencuba..


4. Fokus kepada subjek yang dipohon
Perhatian dan tumpuan utama haruslah diberi kepada subjek kepakaran yang dipohon. Nyatakan dengan selengkapnya tugas/peranan/sumbangan yang pernah anda buat untuk subjek atau pun bidang kepakaran anda itu. 

Jika pernah anda adakan kelas tambahan / ceramah di luar sekolah, nyatakan dalam borang dan juga lampirkan bukti (dokumentasi/sijil/gambar) bagi mengukuhkan permohonan anda. Antara contoh bidang tugas/ sumbangan yang boleh anda masukkan:
a) Ketua Panitia
b) guru kelas tambahan
c) guru kelab / persatuan (subjek/bidang kepakaran)
d) penceramah 
e) pemeriksa kertas soalan
f) penyelaras kem (subjek/bidang kepakaran)


Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 1 : Mengisi Borang Permohonan)


Apa-apa yang dinyatakan perlulah lebih fokus kepada subjek kepakaran anda. Tak guna jika anda nyatakan berjela-jela bidang tugas anda di sekolah, namun jika diteliti sangat sedikit sahaja sumbangan dalam subjek kepakaran! Sekali lagi saya ingatkan, penekanan haruslah diberikan kepada sumbangan anda dalam subjek kepakaran, bukan lah bidang lain!


5. Bahagikan tugas mengikut bidang
Bagi memudahkan urusan anda untuk menguruskan data dan bahan yang bertimbun-timbun untuk 3+1 tahun, maka lebih baik jika anda bahagikan tugas tersebut kepada bidang masing-masing. Bahagikan tugas mengikut bidang Akademik, HEM dan Kokurikulum.

Sebagai contoh:
2010 - Akademik - Penyelaras Kem Sains PMR
2010 - Akademik - Penyelaras Sains Tingkatan 3
2010 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2010 - KoK - Jurulatih Sofbol Daerah Sibu
2011 - Akademik - Ketua Panitia Sains
2011 - Akademik - Penceramah Bengkel Sains
2011 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2011 - KoK - Jurulatih Sofbol Daerah Sibu
2012 - Akademik - Ketua Panitia Sains
2012 - Akademik - Penyelaras Sains Tingkatan 1
2012 - HEM - Penyelaras Disiplin  Tingkatan 1
2012 - KoK - Jurulatih Sofbol Negeri Sarawak

Penilaian pada tapisan pertama akan dibuat dengan menilai Borang Permohonan anda. Jika anda memudahkan para penilai untuk menilai borang anda, tak mustahil peluang untuk anda melalui tapisan kedua adalah lebih cerah!


6. Kumpulkan bahan
Semasa mengisi Borang Permohonan, sebaiknya anda mulakan dengan mengumpul semua bahan-bahan anda terlebih dahulu. Kumpulkan semua senarai tugas anda, inovasi, ABM, kajian tindakan, penulisan dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan agar memudahkan anda untuk menyiapkan borang permohonan dengan lengkap.

Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 1 : Mengisi Borang Permohonan)

Jika anda tak ingat senarai tugas bagi 3 tahun kebelakang, boleh lah rujuk semula dengan Ketua Jabatan anda agar meminjam semula Borang LNPT yang diisi pada setiap tahun. Ada baiknya, jika anda sendiri yang menyimpan segala maklumat tersebut dalam bentuk softcopy sebagai rujukan di masa depan.

Juga dapatkan semula Buku Rekod Mengajar anda pada tahun-tahun sebelumnya bagi mendapatkan semua Jadual Waktu. 

Selain daripada memudahkan anda untuk mengisi Borang permohonan, sekurang-kurangnya anda kini sudah melakukan sedikit persiapan awal dalam mengumpulkan bahan untuk dikemaskini dan bersedia untuk dicerap oleh Nazir.


7. Fokus kepada Kajian Tindakan dan Inovasi
Dua perkara yang perlu diberi perhatian pada era sekarang jika anda memohon Guru Cemerlang adalah Kajian Tindakan dan juga Inovasi.

Seperti cakap seorang rakan saya, jika pada masa sekarang anda tidak mempunyai sebarang Kajian Tindakan dan Inovasi, bermakna anda adalah guru yang tidak mengikuti perkembangan semasa tentang apa yang berlaku dalam pendidikan di Malaysia!

Kajian Tindakan adalah satu kajian mengenai sesuatu permasalahan p&p yang dijalankan oleh seseorang guru dengan tujuan mengenalpasti kaedah atau teknik yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Sebagai contoh, dalam pengajaran kita dengan menggunakan kaedah A, pelajar tidak memahami apa yang kita ajar. Lantas kita mencuba Kaedah B dan C, dan melihat hasilnya. Hasil dapatan kita dikongsi dengan rakan-rakan guru yang lain.

Tengok satu contoh mudah Kajian Tindakan di sini

Inovasi pula merupakan perkara baru yang kita hasilkan yang akan memudahkan pengajaran dan pengurusan kita. Penghasilan boleh datang dalam bentuk alat bantu mengajar, teknik atau kaedah mengajar dan borang pengurusan. Contoh lain inovasi yang dapat dilakukan adalah blog, video, dan animasi.



 
8. Tonjolkan kelebihan diri
Semasa mengisi Borang Permohonan juga, pastikan anda menyatakan kesemua bidang tugas dan sumbangan anda dalam semua perkara, terutamanya subjek kepakaran anda. Seperti yang saya katakan di atas, jika anda tidak pasti, masukkan saja kesemua sumbangan anda mengikut bidang masing-masing. Penilai akan memilih yang terbaik daripada anda. 

Jika anda melakukan sumbangan luar seperti bergiat aktif dengan aktiviti sukarela dengan pihak JPAM, anda juga boleh masukkan dalam borang permohonan anda pada bahagian yang betul. 

Menonjolkan kelebihan yang ada pada diri bukanlah bererti kita meninggikan diri, sebaliknya memastikan bakat dan kelebihan kita itu disedari supaya dapat digunakan lagi dengan cara yang lebih baik dan bermanfaat.


9. Tanya guru yang berpengalaman
Jangan lupa juga untuk bertanya dengan guru-guru berpengalaman yang telah memohon Guru Cemerlang pada tahun-tahun sebelumnya. Sama ada mereka berjaya atau pun tidak dalam permohonan mereka, saya pasti akan ada sedikit tips dan nasihat yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. 

Nasihat dan juga tips daripada mereka mungkin boleh membantu anda untuk mengisi borang permohonan dengan lebih baik. Saya juga yakin mereka tidak akan lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka dengan anda!


10. Sedia untuk berdepan dengan haters
Yang ini tak dapat nak di ketepikan daripada masuk dalam panduan dan tips saya nih. Ini kerana sebaik mana kita pun, pasti akan ada orang sekeliling yang kurang senang dengan setiap perbuatan kita. Tambah lagi kalau jahat kan?.. He3.. Jadi, sentiasa lah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan dijalankan oleh para haters. Ianya boleh datang dalam bentuk fitnah, cakap-cakap di belakang, perli memerli, bergurau terlebih sudah, dan segala bentuk kejahatan lagi lah.

Pasti akan terganggu kan? Rasa kurang motivasi?

Nasihat saya, TAK PAYAH PEDULIKAN MEREKA! Hu3.. Anggap lah mereka sebagai nyamuk yang datang terbang kat tepi telinga. Dah habis berbunyi, pergilah dia. Yang penting kita sabar, tekun dan istiqamah dengan apa yang kita buat. Hanya kita dan Allah saja yang tahu apa yang ada dalam hati dan yang kita niatkan. Selagi niat kita baik, inshaAllah, akan sentiasa ada pertolongan dari Yang Maha Kuasa. 

Masa yang ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyiapkan lebih banyak tugasan dan cabaran yang menanti kita. Bukan untuk melayan kerenah para haters!

Ader ku kesah? ;)


11. Motivasi Diri Yang Betul
Harus diingat, sentiasa tanamkan dalam diri semasa memohon jawatan Guru Cemerlang ini bukan lah kerana niat untuk meninggi diri dan mengejar duit dan pangkat. Sebaliknya tanamkan diri kita dengan motivasi untuk memperbaiki diri agar menjadi pendidik yang lebih berjaya, menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman, serta niat mendapatkan lebih banyak peluang bagi mencurahkan lebih banyak ilmu dengan orang ramai. 

InshaAllah dengan niat dan iltizam yang betul, semoga kita beroleh kejayaan! Sekurang-kurangnya tidak lah kita kecewa menonggeng sangat kalau-kalau permohonan kita tidak berjaya nanti..



Akhir kalam daripada saya, berusahalah yang sebaik mungkin. InshaAllah dengan kesungguhan, semua orang pasti beroleh kejayaan. Saya yakin ramai lagi guru-guru HEBAT di luar sana. Cubalah peluang ini bagi membuka peluang lebih besar kepada kita untuk mencurahkan ilmu, inshaAllah! Semoga berjaya!!


p/s: Saya akan teruskan entri saya nanti dengan Panduan Memohon Guru Cemerlang (Fasa 2 : Membuat Pendokumentasian / Filing).. Tunggu yer.. ;)

Rabu, 29 Mei 2013

Rancang Gizi Seimbang Dengan Senarai Kalori Makanan Seharian

Adalah merupakan satu keperluan bagi setiap individu dalam merancang pemakanan seimbang dengan menggunakan senarai kalori makanan yang kita makan seharian. Sebagai contohnya, wanita dewasa memerlukan 1600-2000 kalori sehari manakala lelaki dewasa pula memerlukan sehingga 2000-2500 kalori sehari. 
Rancang Gizi Seimbang Dengan Senarai Kalori Makanan Seharian

Keperluan kalori juga adalah bergantung kepada beberapa faktor lain seperti jantina, umur, saiz badan, jenis pekerjaan, iklim dan keadaan kesihatan. Manakala setiap 8000 kalori yang lebih atau terkumpul pula akan menaikkan 1kg berat badan anda. Di bawah ini, disenaraikan kalori-kalori mengikut makanan harian kita.

Kategori: Makanan Rutin
1. Nasi putih (satu setengah cawan)                   = 260 kalori
2. Nasi lemak bersambal (sepinggan)                = 400 kalori
3. Nasi goreng bertelur (sepinggan)                    = 635 kalori
4. Nasi briyani berayam (sepinggan)                  = 880 kalori
5. Nasi minyak kosong (sepinggan)                    = 445 kalori
6. Nasi ayam kosong (sepinggan)                        = 300 kalori
7. Mee goreng kosong (sepinggan)                      = 660 kalori
8. Mee sup (semangkuk)                                      = 380 kalori
9. Mee hoon goreng (sepinggan)                         = 550 kalori
10. Roti putih (2 keping)                                      = 156 kalori
11. Roti canai kosong tanpa kuah (sekeping)    = 200 kalori
12. Capati tanpa kuah (sekeping)                        = 180 kalori
13. Pau ayam (sebiji)                                             = 203 kalori
14. Emping jagung kosong (secawan)                  = 160kalori


Kategori: Lauk Pauk
1. Ikan kembong kari berkuah (seekor)                        = 85 kalori
2. Ikan tenggiri goreng bercili (sepotong)                      = 142 kalori
3. Ikan kembong goreng (seekor)                                   = 140 kalori
4. Ikan senangin masam manis berkuah (sepotong)    = 210 kalori
5. Daging lembu kari berkuah (2 kotak mancis)           = 130 kalori
6. Ayam kari berkuah (sepotong)                                    = 250 kalori
7. Ayam goreng (sepotong)                                               = 255 kalori
8. Ayam tandoori (sepotong)                                            = 220 kalori
9. Sambal udang (setengah cawan)                                  = 70 kalori
10. Sambal sotong (setengah cawan)                               = 55 kalori
11. Telor goreng (sebiji)                                                     = 110 kalori
12. Tauhu goreng (sekeping)                                             = 110 kalori
13. Kacang panggang dalam tin (2 sudu makan)            = 40 kalori

Kategori: Kuih Muih
1.Kasui berkelapa parut (sekeping)                        = 160 kalori
2. Kuih lapis (sekeping)                                            = 130 kalori
3. Bingka ubi (sekeping)                                           = 220 kalori
4. Cekodok Pisang (sebiji sederhana)                     = 180 kalori
5. Popia goreng (satu)                                               = 130 kalori
6. Popia basah (satu)                                                 = 95 kalori
7. Pisang goreng (sekeping)                                      = 170 kalori
8. Kek biasa tanpa krim (sepotong)                        = 87 kalori
9. Karipap (sebiji)                                                      = 130 kalori
10. Sandwich sardin (sekeping)                               = 70 kalori
11. Bubur kacang (semangkuk)                                = 100 kalori

Kategori: Makanan Segera
1. Peha ayam goreng (satu)                            = 130 kalori
2. Nugget ayam (satu)                                    = 60 kalori
3. Kentang lecek (satu tub kecil)                   = 90 kalori
4. Sayur kobis hancur (satu tub)                   = 75 kalori
5. Burger keju (satu)                                       = 425 kalori
6. Kentang goreng (satu kantung kecil)       = 405 kalori
7. Sate ayam (secucuk)                                   = 35 kalori
8. Pizza berkeju (sepotong)                            = 240 kalori

Kategori: Buah-buahan
1. Tembikai (sepotong)                                 = 20 kalori
2. Betik (sepotong)                                        = 45 kalori
3. Pisang emas (2 biji)                                   = 76 kalori
4. Durian (5 ulas)                                           = 64 kalori
5. Limau (sebiji)                                             = 42 kalori
6. Jambu batu (sebiji)                                    = 110 kalori
7. Nenas (sepotong)                                       = 59 kalori
8. Epal (sebiji)                                                = 63 kalori
9. Ciku (sebiji)                                                = 44 kalori
10. Mangga (sebiji)                                        = 103 kalori

Kategori: Minuman
1. Minuman berkabonat 1 tin 285g                = 120 kal
2. Minuman kotak 250g                                   = 105 kal
3. Susu tepung penuh krim 1 sudu makan     = 33 kal
4. Susu tepung tanpa lemak 1 sudu makan    = 25 kal
5. Aiskrim 2 skop                                               = 390 kal
6. Susu pekat manis 1 sudu makan                 = 71 kal
7. Yogurt rendah lemak 1 cawan                     = 90 kal
8. Mentega 2 sudu teh                                      = 75 kal


Sumber 

Rancang Gizi Seimbang Dengan Senarai Kalori Makanan Seharian

Untuk merancang pemakanan yang sihat dan seimbang juga, kita juga perlu mengambilkira beberapa faktor lain seperti:
a) keperluan kalori seharian kita 
keperluan kalori seharian adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Sebagai contoh, keperluan kalori bagi seorang budak lelaki yang aktif dengan seorang budak perempuan yang kurang aktif adalah berlainan.
b) kelas makanan yang seimbang
mengandungi kelas makanan yang seimbang dan mencukupi. Tidak ada kelas makanan yang berlebihan atau tidak mencukupi, kerana setiap zat makanan adalah penting dan mempunyai fungsi masing-masing.
Cubalah kira berapa banyak kalori yang anda ambil dalam satu hari. Atas sikap tak pernah ambil tahu dan tak nak ambil tahulah menyebabkan Malaysia tergolong dalam kalangan negara yang menghadapi masalah OBESITI.... 

Selamat Mencuba!! 

Perginya Seorang Tokoh Pendidikan: Tan Sri Ainuddin Wahid Banyak Bantu Bangunkan Sistem Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid sebagai seorang yang banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. 

Perdana Menteri berkata jasa Ainuddin, tokoh pendidikan yang amat dihormati dan disegani, sangat besar terutama sewaktu Allahyarham menjadi Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Tan Sri Ainuddin Wahid
  
Malah, kata Najib, Allahyarham amat rapat dengan ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia, dalam usaha membangunkan bidang pendidikan di negara ini.
  
Najib bercakap kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di rumah Ainuddin di Taman Tunku Abdul Rahman (TAR) Ampang di sini malam ini.



Perginya Seorang Tokoh Pendidikan: Tan Sri Ainuddin Wahid Bantu Bangunkan Sistem Pendidikan Negara
  
Ainuddin meninggal dunia pada umur 83 tahun, di kediamannya kerana sakit tua.
  
Jenazahnya akan dikebumikan pada 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.
  
Najib berkata "Ainuddin Wahid Endowment Fund" (Dana Biasiswa Ainuddin Wahid) akan dilaksanakan tahun ini.
  
Dana itu diwujudkan oleh kerajaan pada tahun lepas dengan peruntukan RM10 juta bagi membiayai pelajar bumiputra peringkat doktor falsafah untuk tempoh lima tahun di mana-mana institusi pengajian tinggi, kata Najib.


Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof. Datuk Seri Dr Zaini Ujang menyifatkan Ainuddin, anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL), sebagai cukup berwawasan.
  
Ainuddin telah mentransformasi maktab itu hingga menjadi sebuah universiti dan dikenali di peringkat antarabangsa.
  
"Beliau telah merintis jalan kepada penubuhan dua kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor yang sehingga kini telah mengeluarkan seramai 124,000 graduan," kata Zaini dalam satu kenyataan di sini.
  
Beliau berkata Allahyarham juga telah menjadikan UTM sebagai pengeluar utama golongan profesional bumiputera dalam bidang kejuruteraan, seni bina, juru ukur, guru sains dan matematik.
  
Zaini berkata pemergian Ainuddin adalah satu kehilangan besar kepada negara, dan jasa dan pengorbanannya dalam bidang pendidikan amat tinggi dan banyak.



Tan Sri Ainuddin Wahid
  
Semasa Allahyarham menjadi pengetua MTKL beliau telah memperkenalkan "sistem Prelim" bagi mengimbangi komposisi antara kaum dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera Melayu, katanya.
  
Beliau berkata Allahyarham merupakan "individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam" serta memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan moral di universiti. - Bernama


Sumber

Selasa, 28 Mei 2013

Permohonan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan melaksanakan urusan pemangkuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) sebagai Guru Cemerlang di sekolah dan Pensyarah Cemerlang di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), Kolej Matrikulasi (KM) dan English Language Teaching Centre (ELTC) secara Khas Untuk Penyandang (KUP) di Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 2013. Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti telah diberi mandat untuk menjadi Urus Setia Induk Penilaian Guru Camerlang dan Pensyarah Cemerlang 2013.

 
Pemangkuan gred jawatan Guru Cemerlang dan Pensyarah Cemerlang yang ditawarkan adalah seperti berikut: 
  
PPP
Gred Ditawarkan
Guru Sekolah
Gred Khas C, DG54, DG52, DG44, DGA38, DGA34 & DGA32
Pensyarah IPG
Gred Khas C & DG48
Pensyarah
IAB / KM/ ELTC
Gred Khas C, DG54 & DG52

 
Tarikh tutup permohonan adalah pada hari Jumaat, 21 Jun 2013.


Syarat Umum Permohonan
1. Telah disahkan dalam perkhidmatan
2. Telah dinaikkan pangkat ke gred semasa. Calon yang sedang memangku tidak layak memohon
3. Markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sekurang-kurangnya 85% dan ke atas untuk setiap tahun bagi tahun 2010, 2011, dan 2012
4. Bebas daripada tindakan tatatertib
5. Telah membuat pengisytiharan harta (tempoh sah laku 5 tahun)
6. Lulus tapisan keutuhan SPRM
7. Bebas daripada senarai peminjam tegar pinjaman pendidikan / tabung pendidikan
8. Diperaku oleh Ketua Jabatan


Syarat Khusus Permohonan
1. Tempoh perkhidmatan melebihi 5 tahun pada 1 Januari 2013.
(*Bagi yang posting pada 1 Januari 2008 atau sebelumnya. Jika posting selepas 1 Januari 2008, bermakna tahun perkhidmatan baru 4 tahun dan 3++ hari)
2. Pemohon telah disahkan jawatan dalam gred semasa.
3. Mata pelajaran / bidang kepakaran yang dipohon merupakan mata pelajaran / bidang utama yang diajar oleh pemohon.
4. Mengajar mata pelajaran / bidang kepakaran selama 3 tahun terakhir berturut-turut. 
5. Calon bidang pentadbiran (seperti PK, Guru Kanan) boleh memohon, dengan syarat mesti melepaskan jawatan tersebut jika ditawarkan Guru Cemerlang.
Untuk maklumat lanjut, sila tengok iklan permohonan di sini.


p/s : InshaAllah jika ada kesempatan dan masa, saya akan berkongsi sedikit tips, panduan dan pengalaman ketika memohon Guru Cemerlang DG44 pada tahun lepas. Semoga dipermudahkan.
 

Omar Borkan Al Gala Dihalau Kerana Terlalu Kacak : Satu Penipuan!

Saya rasa ramai yang dah tahu kan cerita pasal tiga jejaka dari UAE (Emiriah Arab Bersatu) yang dihalau keluar dari Arab Saudi dek kerana terlalu kacak sehingga dibimbangi oleh para suami di sana, wajah yang kacak itu akan menggoda isteri-isteri mereka. Hakikat sebenarnya? 

Omar Borkan Al Gala Dihalau Kerana Terlalu Kacak : Satu Penipuan!

Hakikat sebenarnya, tak ada sesiapa pun yang dihalau keluar dari Arab Saudi! Hatta yang berwajah kacak sekali pun.

Ini kisah sebenarnya..

Seorang ahli Mutawa (polis agama) di Saudi telah pergi ke Pavilion UAE semasa Festival Warisan dan Budaya, tetapi dihalau keluar oleh anggota keselamatan di sana. Ini kerana ahli Mutawa tersebut membantah kehadiran seorang penyanyi dari UAE yang bernama Aryam.
 
Penyanyi UAE Aryam


Malah video kekecohan tersebut juga boleh dijumpai di Youtube, dengan kelibat pasukan keselamatan mengiringi ahli Mutawa tersebut keluar dari kawasan pavilion tersebut.

Itu saja...


Insiden yang melibatkan Omar Borkan Al Gala hanyalah apabila dia telah menari dengan tidak sepatutnya di kawasan yang tidak sepatutnya. Beberapa aduan telah dibuat dan dia telah disoal siasat oleh anggota keselamatan. Dia kemudiannya diminta untuk beredar daripada kawasan tersebut, bukannya negara tersebut. 


Namun sehingga kini Omar Borkan Al Gala tidak pernah menafikan cerita yang tersebar mengenainya memandangkan populariti yang diperolehinya sebagai "Jejaka Yang Terlalu Kacak Untuk Arab Saudi". Makin glamer maa..

Omar Borkan Al Gala Dihalau Kerana Terlalu Kacak : Satu Penipuan!

Omar Borkan Al Gala Dihalau Kerana Terlalu Kacak : Satu Penipuan!

Omar Borkan Al Gala Dihalau Kerana Terlalu Kacak : Satu Penipuan!


Selain itu, sumber-sumber asal dalam Bahasa Arab yang pertama melaporkan mengenai kejadian itu juga telah tidak ditemui lagi secara online.


Sumber

Eksperimen Sains Pelajar : Pokok Mati Jika Ditanam Dekat Dengan Router Wi-Fi

Lima orang pelajar Gred 9 (berusia 14 dan 15 tahun) daripada Hjallerup School, Denmark telah menjalankan satu eksperimen, dengan hasil keputusannya mengejutkan ramai pihak.

Eksperimen Sains Pelajar : Pokok Mati Jika Ditanam Dekat Dengan Router Wi-Fi


Penyiasatan mereka bermula apabila mereka mendapati mereka mengalami kesukaran untuk tidur dan fokus dalam kelas sekiranya mereka tidur dengan meletakkan telefon bimbit di sisi mereka. Jadi mereka mula merancang untuk menjalankan eksperimen ini kepada manusia, namun kekurangan fasiliti menyebabkan mereka terpaksa menukarkannya kepada subjek lain, tumbuhan.

Apa yang mereka buat?

Mereka telah meletakkan 6 dulang yang berisi Lepidium sativium, sejenis tumbuhan herba yang menjalar di dalam sebuah bilik tanpa radiasi, dan 6 dulang lagi dengan kandungan yang sama ke dalam bilik yang mempunyai 2 router wi-fi. Mengikut pengiraan pelajar tersebut, jumlah radiasi yang dihasilkan oleh 2 router wi fi itu adalah bersamaan dengan sebiji telefon bimbit biasa.

Kemudian, sepanjang 12 hari tersebut, pelajar-pelajar itu telah memerhatikan, mengukur, menimbang, dan mengambil gambar. Sudah tentu hasil akhirnya, hampir kesemua tumbuhan di dalam bilik beradiasi tersebut mati.

Eksperimen Sains Pelajar : Pokok Mati Jika Ditanam Dekat Dengan Router Wi-Fi

Melalui eksperimen tersebut juga, para pelajar tadi telah memenangi pertandingan Sains peringkat negara dan telah menarik perhatian ramai saintis di seluruh dunia.

Seorang professor yang berkaitan dengan neurosains dari Institut Karolinska, Sweden telah menyatakan hasrat bagi mengulangi eksperimen tersebut dalam keadaan yang lebih terkawal.


Sumber

Lepidium sativum

Isnin, 27 Mei 2013

Tiada Jaminan Penempatan Untuk Graduan IPG / Pendidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.

Tiada Jaminan Penempatan Untuk Graduan IPG / Pendidikan


“Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.

“Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.

“Di Finland misalnya hanya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi,” katanya.

Bagaimanapun kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana. Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian