.

.

ISU DAN KONTROVERSI PENDIDIKAN MALAYSIA 2016

Imbas kembali isu dan kontroversi dunia pendidikan Malaysia sepanjang 2016

80 HARI DI KOREA

Ikuti kembara saya sebagai guru pertukaran di Korea

PANDUAN LENGKAP PEMBELAJARAN ABAD 21

Menelusuri segenap sudut Pembelajaran Abad 21

PANDUAN MEMOHON GURU CEMERLANG

Panduan Memohon Guru Cemerlang : Dokumentasi dan Filing

KOLEKSI 100+ IDEA KREATIF SAINS

Dapatkan idea kreatif pengajaran dan pembelajaran Sains

Ahad, 31 Mac 2013

Askar Dajjal Akhir Zaman Terus Hina Islam

Kenal dengan minah senget nih kan? Nicki Minaj yang selalu bawak watak gila pelbagai karakter yang konon-konon nya cooooool giler.Kenapa saya marah sangat dengan Nicki Minaj? Lagu terbaru dia secara terang-terangan menghina Islam. Hampeh punya pompuan senget sakit mental nih. Rela diri sendiri menjadi sebahagian daripada askar laknat Dajjal akhir zaman!


Nicki Minaj hina Islam



Dasar demokrasi (hak sama rata) sebenarnya tidak menghalalkan sesiapa pun untuk mengutuk kepercayaan dan pegangan orang lain. Kalau nak sangat hak sama rata, izinkan juga orang lain untuk mengutuk dan menghina kepercayaan dan pegangan anda. Baru sama rata kan? 

Ini bukan kali pertama Islam diperlakukan sebegini. Malah bukan untuk kali terakhir juga, saya percaya. Tahun lepas pun ada filem pendek menghina Junjungan Nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh orang yang kononnya "bertamadun tinggi" sangat, tapi lupa.. berotak dangkal! Pelik dan ajaib. Apalah yang hendak ditakutkan sangat dengan Islam sehingga perlu bertindak sedemikian cara?


Nicki Minaj askar Dajjal hina Islam

Islam menggalakkan bunuh orang dengan cara berjihad? Cuba tanya balik, berapa ramai orang bukan Islam yang mati sebab kena bunuh dengan orang Islam dan tanya juga berapa ramai orang Islam yang dah mati kena bunuh dengan orang bukan Islam seperti di Iraq, Afghanistan, Kemboja dan lain-lain lagi. 

Pernyataan ini sebenarnya bukan ayat untuk meletakkan jurang perbezaan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam. Sikap ekstrim perlu dielakkan! Berbuat baiklah sesama kita selagi kita semua saling hormat menghormati antara satu sama lain, terutamanya hal yang berkaitan dengan kepercayaan masing-masing.

Akhir zaman adalah zaman fitnah besar. FITNAH BESAR UNTUK ISLAM! Islam sering dikatakan agama yang menggalakkan pembunuhan, agama pengganas, dan agama mengongkong hak wanita. Walhal, perkara yang sebenarnya adalah di sebaliknya! 

Jangan juga agama Islam itu dihukum oleh kerana perbuatan buruk orang Islam. Lihat Islam itu pada agamanya, nescaya anda akan lihat keindahannya!



Cerpen Ibu : Hebatnya Kasih Mak! (WAJIB BACA untuk anak yang ada mak, ibu, ummi, mummy, mama!)

Sebenarnya saya jarang nak membaca cerpen. Tapi tertarik hati sebab kawan yang share bagitau " Buat yang sayangkan ibunya". So saya pun bacalah sehingga akhir, memandangkan saya pun tengah rindukan ibu saya sebab dah lama tak balik kampung! Ayat demi ayat, sehinggalah ke baris terakhir. Memang melekat nak baca cerita nih sampai habis, yang mana jarang berlaku kat saya. Apa-apa pun, tak nak cerita panjang-panjang, terus baca k!



HEBATNYA KASIH MAK!
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


  Dua puluh tahun kemudian 
Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”Ateh menjawab, “Entah.”Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?”

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?”

Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. -Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. 
Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.”

Sekurang-kurang -nya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat -gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, -masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.”

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.


Beberapa tahun kemudian 
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

“Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” “

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.”

“Ayah, ayah ….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

p/s: Kalau masih ada mak, tolonglah hargai mak anda. Kalau mak dah pergi menghadap  Yang Maha Esa, doakan lah untuk kesejahteraannya di sana. Bagi yang masih ada mak, dah berapa lama anda tak telefon mak?? Ambil telefon, luangkanlah seminit dua bertanya khabar mak. Pastinya mak akan gembira.
 Buat Bonda Tercinta, Asmaah bte Yasin, Love U mum!!
 

Jumaat, 29 Mac 2013

Tema Hari Guru 2015 - 1972


Tema Hari Guru
TEMA HARI GURU 2015
Tema Hari Guru 2015 telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jemaah Nazir dan Jaminana Kualiti JNJK pada hari ini. Dengan masih bertemakan "Guru : Menjana Ilmu Menyempurnakan Akhlak" ternyata KPM adalah sangat konsisten dalam usaha berterusan untuk terus membangunkan kualiti pendidikan di Malaysia yang setaraf dengan negara luar. Finland, mungkin! Tema juga tidak hanya memfokuskan kepada golongan pendidik sahaja, namun dalam masa yang sama turut menumpukan kepada perkara penting pendidikan, iaitu ke arah melahirkan pelajar yang unggul beraspirasi.


DOWNLOAD | Koleksi Lagu Tema Hari Guru

TEMA HARI GURU (1972 - 2014)
2015   Guru : Menjana Ilmu Menyempurnakan Akhlak
2014   Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
2013   Guru Malaysia : 1Aspirasi, 1Agenda
2012   Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara 
2011   Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010   Guru Pembina Negara Bangsa
2009   Guru Pembina Negara Bangsa
2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007   Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006   Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001   Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000   Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999   Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998   Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997   Guru Bestari Sekolah Bestari
1996   Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995   Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992   Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991   Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990   Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989   Guru Pembina Budaya Ilmu
1988   Guru Pengasas Budaya Membaca
1987   Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986   Pendidikan Teras Nasionalisme
1985   Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984   Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983   Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982   Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981   Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980   Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979   Murid Sejahtera Negara Jaya
1978   Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977   Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976   Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975   Guru dan Pembangunan Negara
1974   Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973   Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972   Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara






Khamis, 28 Mac 2013

Pengaruh Warna Kepada Waktu Solat dan Fungsinya

Mata manusia ada tahap keterbatasannya. Sebab itu ada gelombang yang kita tak boleh nampak, contohnya macam sinar-X dan sinar UV. Sebenarnya mata manusia hanya mampu untuk bertindakbalas kepada jalur gelombang daripada 390 hingga 700 nm atau pun bersamaan dengan jalur frekuensi 430 - 790 THz sahaja. Ini dinamakan "cahaya nampak".


Frekuensi dan Jalur gelombang warna cahaya nampak

Warna juga mempunyai frekuensi yang tertentu dan spesifik. Malah dipercayai bahawa setiap benda hidup juga ada frekuensi/getaran masing-masing. Sebab itu wujudnya ilmu pengetahuan mengenai penggunaan warna dalam memberikan frekuensi atau getaran yang sama kepada bahagian badan tertentu. Ini bagi membolehkan berlakunya resonan sekaligus membantu bahagian tubuh tersebut untuk berfungsi pada tahap optimum.

Jom kita lihat apa pula kaitan warna dengan waktu solat, serta pengaruhnya kepada fungsi tubuh badan.



 MISTERI | Pengaruh Warna Kepada Waktu Solat dan Fungsinya



Waktu Subuh
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?


Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ..). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la.) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.


Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.


Waktu Sepertiga Malam
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.



p/s: Hanya berkesan apabila di awal waktu dan aura berjemaah tempat azan dilaungkan sahaja.

Rabu, 27 Mac 2013

Cikgu Erin : Dulu Mak Nyah, Kini Pendakwah


Cikgu Erin : Dulu Mak Nyah, Kini Pendakwah

Perkongsian Sempena Forum Khas "Dulu Mak Nyah Kini Pendakwah" yang dianjurkan semalam di Masjid Al Islamiah, Kg Lindungan, Petaling Jaya.

Panel : Cikgu Erin (Bekas Mak Nyah), Ustaz Hanafi
Moderator : Ustaz Syed Norhisyam

Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah s.w.t mengizinkan majlis ini dilangsungkan di Masjid Islamiah, Kg Lindungan. Penulis tergerak untuk merakam perkongsian ini kerana penulis pernah juga melalui persekitaran sekolah asrama dan universiti yang menularnya gejala songsang ini.

Dalam pengalaman penulis di sekolah asrama penuh, memang ianya suatu adat/budaya dimana pelajar lama (i.e Tingkatan 4 atau 5) akan mengambil adik-adik angkat dari Tingakatan 1. Dan dari sini menularnya bibit-bibit percintaan songsang ini.

Dan dalam pengalaman penulis juga, di mana penulis pernah melihat sendiri tertangkapnya satu pasangan lelaki tahun satu disebuah universiti terkemuka sedang melakukan pekara terkutuk didalam asrama universiti.

Dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana diberikan taufik dan hidayah kepada Cikgu Erin untuk kembali ke jalan yang benar. Sesungguhnya apabila Dia memberikan petunjuk, dia tidak mengira latar belakang kita. Sesiapa sahaja yang diizinkanNya boleh bertaubat dan kembali kepangkal jalan. Sehina dan sekeji dipandangan manusia, tetapi dipandangan Dia lain percaturannya, sesungguhnya dia Maha Pemgampun dan Maha Mengasihani. Alhamdullilah kini Cikgu Erin bertekad utk membantu membanteras gejala songsang ini.

Ustaz Hanafi menerangkan bahawa di Malaysia ini sebanyak 300,000 (e.g Mak Nyah, Penkid, bisekual, transgender) yang terjebak dengan budaya songsang ini. Yang lebih menyedihkan majoriti daripada mereka ini adalah beragama Islam. Dan hari ini majoriti jangkitan HIV berpunca dari gejala songsang ini.

Alhamdullilah usaha-usaha Ustaz Hanafi dan JAKIM sudah sedikit sebanyak menembusi golongan ini dan usaha-usaha pemulihan giat dijalankan. Antara usaha yang dijalankan dimana seorang "mak ayam" berjaya dipulihkan. Dan rentetan ini membawa "anak-anak ayam" dibawah jagaannya untuk turut serta untuk kembali kepada fitrah.

Lagi satu usaha untuk membawa mereka masuk semula kedalam masyarakat, di suatu masjid di Kuantan, apa bila solat Jumaat seramai 12 orang Mak Nyah diletakkan di saf pertama dan salah seorang dilantik sebagai bilal.

Tiba giliran Cikgu Erin, kerap diselangseli dengan titisan air mata. Cikgu menceritakan kisah hidupnya yang dilahirkan sebagai seorang lelaki tetapi lembut. Dan kerap mendapat cemuhan masyarat, dari abang sendiri disekolah dan para cikgu. Kerana sejak berumur 5 tahun telah dilihat sebagai objek yg hina, Cikgu Erin sentiasa dipinggir didalam masyarakat.

Apabila meningkat dewasa dan melangkah ke alam universiti, golongan-golongan yang "dipinggir" ini mula mendapat nafas baru apabila berada didalam "jemaah". Mula bergerak dalam kumpulan dan sudah ada tempat untuk meluahkan perasaan, berkongsi cerita dimana kelebihan ini tidak ada masa dikampung. Ini membuatkan mereka mula lebih berani dan menonjol untuk hidup dalam keadaan songsang.

Yang lebih menyukarkan adalah dari sudut ekonomi. Peluang pekerjaan amat sukar untuk mereka ini kerana pandangan serong masyarakat menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain untuk melacur untuk mencari sesuap nasi.

Penulis dan saya rasa, ramai juga yang tersentap malam tadi apabila bercakap mengenai pandangan masyarakat terhadap golongan ini. Kita lupa mereka ini dilahirkan didunia begitu bukan sebab diminta, tetapi ini semua urusan kebijaksanaan Allah s.w.t. Dan kita hamba-hamba Allah yang cukup sifat selalu memandang serong terhadap mereka ini, tidak lain memandang serong keatas urusan dan ciptaan Allah s.w.t.

Nauzubillah min zalik.

Pesanan mereka untuk para ibubapa, atau sahabat-sahabat yg dalam keluarga atau komuniti mereka ada golongan seperti ini, janganlah cepat menghukum. Mereka ini perlukan bimbingan, sokongan dan kasih sayang. Dalam kes Cikgu Erin, kerana kurangnya kasih sayang, dia lari dari rumah dan bercampur-gaul dengan golongan sejenis.

Ibu bapa, guru, sahabat tidak boleh berkeras untuk merubah mereka, tetapi bimbing mereka agar berubah mengikut keupayaan mereka.

Ibu bapa terutamanya apabila anak-anak bersifat lembut, jangan pinggirkan mereka. Sepatutnya mereka ini diangkat dan dibentuk dari kecil. Hal lembut itu bukan kerja kita, itu kerja Allah.

Masyarakat pula perlu hentikan sifat menghukum dan mengekeji mereka ini, sebaliknya buka ruang utk mereka. Jangan kerana perwatakan lembut, tiada peluang mencari nafkah untuk mereka. Jangan kerena mereka lembut, pabila masuk ke masjid mereka dilihat mengelikan. Jangan kerena mereka lembut jangan ingat mereka ini semua songsang.

Jangan pinggirkan anak-anak ini. Mereka perlukan bantuan.

Jadi pendakwah tidak semestinya seorang ustaz, atau mendapat kelulusan dari Mesir dan sebagainya. Kita semua adalah pendakwah, apabila salah ditegur, apabila ada ilmu disampaikan. InsyaAllah selepas ini, akan ada lagi sesi-sesi forum seperti ini. Nantikan dimasjid dan surau berdekatan anda.


Sumber

PBS | Esei Sains Tingkatan 2 : Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelakkan Obesiti Dalam Kalangan Murid

PBS Sains Tingkatan 2
Tugasan : Esei
Amalan Pemakanan Yang Betul Bagi Mengelakkan Obesiti Dalam Kalangan Murid
Instrumen B6D2E1




PBS | Esei Sains Tingkatan 2 : Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelak Obesiti Dalam Kalangan Murid

Menurut kamus DBP, Kuala Lumpur Edisi Ketiga, obesiti bermakna kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Obesiti menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, dan tekanan darah tinggi. Selain tertekan secara emosi, orang yang mengalami masalah obesiti juga tidak dapat menikmati kehidupan mereka sepenuhnya kerana pergerakan yang terbatas. Bagi mengatasi masalah ini, mereka perlu mengamalkan pemakanan gizi seimbang, iaitu yang bermaksud pemakanan harian yang mengandungi kesemua kelas makanan dengan kuantiti yang betul dalam jumlah yang mencukupi.

Masalah obesiti sebenarnya berlaku disebabkan oleh cara hidup yang tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan seharian. Pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan terlalu manis boleh membawa kepada masalah kegemukan. Makanan bergoreng juga boleh menyumbang  kepada pengumpulan lemak dalam badan. Justeru itu, kita hendaklah makan lebih banyak sayur, buah-buahan dan sumber protein yang lain seperti ikan. Penggunaan minyak dikurangkan dan mempelbagaikan masakan dengan cara mengukus, membakar atau merebus.

Selain daripada itu, sikap malas dan tidak suka bersenam juga menjadi punca berlakunya masalah obesiti. Apabila kita terlalu memanjakan tubuh dengan cara tidak melakukan sebarang pergerakan senaman, lemak akan terus terkumpul dalam badan kita. Oleh itu, kita mesti bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit. Antara senaman yang digalakkan ialah berjalan kaki pantas, berenang, atau bermain badminton.

Di samping itu, peningkatan restoran makanan segera dan penjualan makanan dalam bungkusan atau tin turut menjadi satu punca obesiti. Restoran makanan segera sangat digemari ramai penduduk negara ini terutama mereka yang bekerja kerana tidak perlu lagi bersusah payah untuk memasak makanan selepas penat bekerja. Walaupun makanan yang disediakan ini menyelerakan, orang ramai harus sedar bahawa pengambilan makanan ini haruslah dikurangkan kerana makanan ini tidak berkhasiat dan mengandungi kadar garam, gula, dan lemak yang tinggi.

Kesimpulannya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul sebagai akibatnya. Obesiti yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam dapat dielakkan jika kita mengubah pengambilan makanan, cara memasak, dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.


(326 patah perkataan)




# Tips-Tips PBS Yang Mungkin Berguna:
>Mempraktikkan amalan pemakanan yang betul
Menganalisa kelas-kelas makanan
Menilai kepentingan gizi seimbang
Amalan Pemakanan Yang Betul Untuk Mengelak Obesiti Dalam Kalangan Murid

>Merancang satu gizi seimbang
Rancang Gizi Seimbang Dengan Senarai Kalori Makanan Seharian Kita

Contoh menu makanan seharian bagi seorang pelajar

>Mewajarkan pengagihan makanan kepada yang kurang bernasib baik
yang ini rasanya boleh buat esei sendiri kan? ..;)


>Mengaitkan adab makan yang menepati sensitiviti dan kepercayaan agama
Adab Makan Yang Menepati Sensitiviti dan Kepercayaan Agama di Malaysia

 

Program Bursary Pelajar Cemerlang SPM 2012: Calon Cemerlang A+ Sila Pohon

Program Bursary Cemerlang SPM 2012

Pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM Tahun 2012, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary (bantuan kewangan) secara automatik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.  

Bursary (bantuan kewangan) meliputi yuran pengajian dan elaun sara hidup sebanyak RM430 sebulan serta tempat/kursus bagi pelajar-pelajar cemerlang SPM mengikuti program-program persediaan di dalam negara yang disediakan oleh KPM. Pelajar cemerlang SPM boleh melayari Aplikasi Online Bursary Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2012 untuk mendaftar, membuat semakan dan mengemaskini maklumat pada 25 Mac 2013 (Isnin).
  
Pelajar-pelajar mestilah memenuhi syarat-syarat berikut: 
I.Syarat-Syarat Umum
a. Mendapat 9A+ dan ke atas dalam peperiksaan SPM pada tahun 2012;
b. Warganegara Malaysia; dan
c. Umur belum mencapai 18 tahun (19 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2012.
II. Syarat-Syarat Khusus
a. Mengikuti salah satu program persediaan berikut:-
i. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
ii. Matrikulasi
iii. Asasi
iv. International Baccalaureate (IB)
v. A-Level
b. Mengikuti pengajian peringkat persediaan di institusi persediaan dalam negara yang telah ditetapkan

 

Bagi kesemua program persediaan yang tersenarai di atas, penawaran Bursary KPM tertakluk kepada pelajar telah ditawarkan/ditempatkan di institusi persediaan yang telah ditetapkan. Sila layari laman sesawang KPM di www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar Bursary KPM mulai 25 Mac 2013. Pengesahan penerimaan tawaran perlu dibuat sebelum atau pada 16 Jun 2013 tertakluk  kepada tarikh tawaran kemasukan ke institusi persediaan.

Selasa, 26 Mac 2013

Perkhemahan Unit Uniform Bersepadu 4 Hari 3 Malam Memang Best!


Cuti sekolah pada pertengahan Semester 1 tahun 2013 ini, adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Warga sekolah SMK Luar Bandar No.1 Sibu yang terdiri daripada barisan guru-guru, staf sekolah dan adik-adik pelajar akan berkumpul beramai-ramai bagi menjayakan Perkhemahan Unit Beruniform Bersepadu Peringkat Sekolah. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Acara tahunan ini yang dijalankan di tapak perkhemahan sekolah sudah mencecah penganjuran buat kali ke-9. Perkhemahan bermula pada hari Jumaat (22hb Mac) sehinggalah penutupan pada hari Isnin (25hb Mac). Semuanya digerakkan secara aktif oleh orang kuat dalam aktiviti perkhemahan ini, iaitu Cikgu Romzi Anna yang juga merupakan salah seorang Jurulatih Utama Kadet Remaja Sekolah Negeri Sarawak.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Semua 8 unit beruniform yang ada di sekolah ini akan mengikuti perkhemahan dengan penyertaan 8 orang peserta lelaki dan 8 orang peserta perempuan. Pelajar tinggal di dalam khemah selama 4 hari 3 malam dan mengikuti segala aktiviti perkhemahan dengan diperhatikan oleh guru penasihat unit beruniform masing-masing. 

Unit beruniform yang ada di sekolah ini, ialah:
1) Kadet Remaja Sekolah (KRS)
2) Kadet Pertahanan Awam (KAPA)
3) Kadet Bomba 
4) Kadet Polis
5) Pertubuhan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM)
6) Pengakap
7) Pandu Puteri
8) Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)


Seminggu Sebelum Hari Perkhemahan
Selaku ketua guru penasihat Kadet Pertahanan Awam (KAPA) saya bertanggungjawab untuk mencari peserta yang bakal mengikuti perkhemahan ini. Sedikit masalah timbul pada peringkat awal kerana kekurangan ahli kadet (pelajar Tingkatan 1 dan 2 sahaja) untuk menyertai perkhemahan ini. Namun atas kerjasama Cikgu Tuan Asmadi, maka pencarian peserta perkhemahan bagi mewakili Kadet Pertahanan Awam telah berjalan lancar.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Peserta lelaki yang mewakili Kadet Pertahanan Awam (KAPA) untuk tahun ini ialah Alexious Ganing, Nelson Nyadang, Matteus William, Roderick Renggie, Joedexpher Johsip, Christopher Awang, Lavis Macclein Dylan dan Marvericks Ajai. Manakala bagi peserta perempuan pula ialah Norannatasha, Melissa Minda, Korina, Debbie Debra, Megdaleri Rini dan Santih Umar. Fasilitator yang membantu pula ialah Allister Latan, Warren Jambi, Julia Ding dan Florance.

Tugas melaksanakan kerja-kerja awal perkhemahan telah saya serahkan kepada Cikgu Tuan Asmadi dan Cikgu Khairol Ashaari. Mereka berdua bersama-sama pelajar akan turun ke tapak perkhemahan seminggu lebih awal bagi melakukan kerja-kerja persediaan awal sebelum berkhemah. Ini adalah termasuk, membersihkan tapak khemah, dan mencari buluh bagi digunakan untuk membuat gajet dan pintu gerbang.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Sistem penggiliran kem komandan dan juga timbalan masih dipraktikkan lagi pada kali ini. Maka individu yang bertuah terpilih bagi menjadi kem komandan ialah Ustaz Ghaiazra yang sangat berpengalaman dalam mengendalikan kem agama peringkat Sibu dan juga Sarawak. Manakala timbalan kem komandan pula dibantu oleh Cikgu Mohd Asmadi. Gandingan yang mantap! 


Hari Pertama Perkhemahan
Manakala kerja-kerja pendaftaran pada hari Jumaat pula diuruskan oleh Cikgu Norbaida Akma dan Cikgu Zabidah. Segalanya berjalan lancar sekalipun ada beberapa orang pelajar yang menarik diri atas pelbagai alasan. Kerja-kerja pada petangnya diteruskan dengan aktiviti membuat pintu gerbang dan gajet.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Waktu malam hari pertama, aktiviti Pecah Bendung atau pun sesi suaikenal dan pembahagian kumpulan diadakan. Aktiviti ini dikendalikan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah yang diuruskan oleh Cikgu Catherine, Cikgu Louis dan Cikgu Celiaulas. Aktiviti seperti ini sangat membantu para peserta perkhemahan memandangkan ada juga antara mereka yang masih belum mengenali antara satu sama lain sebelum ini. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Aktiviti pada hari tersebut berakhir pada jam 11.00 malam dan semua peserta masuk tidur bagi menantikan hari kedua yang jauh lebih menyeronokkan! Kasihan, bila melihat peserta yang keletihan terpaksa tidur berhimpit-himpit dalam khemah yang sederhana besar kerana khemah dimasuki air hujan.. 


Hari Kedua Perkhemahan
Hari kedua bermula dengan aktiviti senam dan riadah pada awal pagi. Aktiviti diuruskan oleh Cikgu Bangkang dengan pelajar pembantu yang memang cergas bergerak aktif. Senam pagi yang meriah turut menaikkan semangat peserta perkhemahan untuk ceria sepanjang hari.

Aktiviti diteruskan dengan Aktiviti Dalam Kumpulan (ADK). Peserta akan mengikut kumpulan masing-masing, dan bergerak dari satu stesyen ke stesyen seterusnya bila masa yang ditetapkan tiba. 

ADK 1 : Tali temali (Cikgu Abdul Hakim)
ADK 2 : Gajet (Cikgu Chieng Mee Seng)
ADK 3 : Bantu Mula (Cikgu Ling Eung Fuu)
ADK 4 : Permainan Tradisional (Cikgu Minggu)

Peserta nampaknya gembira dengan kemahiran baru yang dapat dipelajari oleh mereka. 

Aktiviti malam pula diteruskan dengan persiapan bagi malam persembahan yang akan diadakan pada esok hari. Masa yang diperuntukkan selama 2 jam juga tidak mencukupi sehingga memaksa kem komandan dan timbalan menambah 1/2 jam lagi bagi membantu peserta untuk memberi komitmen dalam persiapan persembahan.


Hari Ketiga Perkhemahan
Hari ketiga perkhemahan, peserta akan mengikuti aktiviti Kembara Rimba iaitu semua peserta akan berjalan kaki secara berkumpulan masuk ke dalam hutan dan melalui beberapa halangan serta checkpoint yang telah ditentukan. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Kerjasama dalam kumpulan amat lah dituntut pada ketika ini. Tambah menarik, apabila setiap peserta dibekalkan dengan sebiji telur dan juga sebotol air mineral sebagai "Amanah" mereka sepanjang perjalanan tersebut.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Pada setiap checkpoint, telah ditugaskan 2/3 orang fasilitator yang akan membantu serta men'sabotaj'kan para peserta bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka. Sebanyak 7 checkpoint telah disediakan dengan setiap checkpoint muncul dengan cabaran dan kesukaran masing-masing.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Checkpoint yang paling banyak menduga, tentulah checkpoint ke-5, di mana para peserta dikehendaki meniarap di kawasan paya yang berlumpur oleh abang dan kakak fasilitator yang 'ganas-ganas' dan 'digeruni'. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Memang kecut perut semua peserta perkhemahan yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 dan 2 ketika mendengar teriakan dan jeritan daripada para fasilitator.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Perjalanan sejauh 3 kilometer yang penuh halangan itu akhirnya berjaya dilalui oleh para peserta dengan jayanya. Sekali pun perjalanan sukar itu penuh dengan pelbagai halangan, namun berkat kerjasama dan semangat kental adik-adik peserta, maka semua itu tidak menjadi masalah pada mereka. Aktiviti tamat pada pukul 12.00 tengahari.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Pada sebelah petangnya pula, Pertandingan Masakan Ala Rimba pula berlangsung. Memang seronok, kerana pada ketika ini lah peserta dan guru penasihat akan berganding tenaga dan kemahiran dalam menyediakan masakan dengan peralatan dan kemudahan yang terhad. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Kreatif melihat guru dan peserta menyediakan masakan ala rimba dalam keadaan yang serba kekurangan. Ada yang kreatif memasak nasi dengan menggunakan kelapa, memasak ayam menggunakan buluh (Ayam Pansuh) dan macam-macam lagi.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Bagi peserta Kadet Pertahanan Awam (KAPA), Cikgu Roziana, Cikgu Nor Baida Akma dan Cikgu Wan Ida Soffyani telah berganding tenaga mencurahkan resepi keluarga masing-masing dalam menyediakan masakan yang hebat dan lazat. Pelajar juga aktif membantu para guru dalam membuat persiapan memasak dan menyalakan api.

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Pada sebelah malam nya pula, diadakan Malam Persembahan. Malam Persembahan yang bertemakan Tradisi Warisan Bangsa, sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada peserta perkhemahan mengenai seni kebudayaan yang wujud di seluruh Malaysia. Apatah lagi setiap unit beruniform tampil dengan kebudayaan masing-masing yang tersendiri. Peserta KAPA pula telah mengadakan persembahan Ulek Mayang, gabungan lakonan pendek dengan sedikit tarian.  


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Sambil menyaksikan persembahan, peserta perkhemahan juga diberikan bahan memanggang BBQ untuk kumpulan masing-masing. Guru-guru pula dibantu oleh para fasilitator yang sentiasa ringan tulang membantu. Aktiviti tamat pada hampir pukul 12.00 tengah malam. Namun itu bukanlah penutup bagi aktiviti untuk malam itu.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Selepas semua peserta diarahkan tidur, pada jam 2 pagi, peserta sekali lagi dikejutkan dengan panggilan untuk berkumpul. Kali ini, sesuatu yang lebih menarik menanti mereka!

Peserta perkhemahan dikumpulkan di dataran perhimpunan dan ditutup mata dengan kain. Seterusnya mereka di bawa ke kawasan gelap dan terpencil berhampiran tapak perkhemahan sekolah. Di sana mereka akan diganggu oleh 'hantu-hantu' yang terdiri daripada para fasilitator yang akan cuba menggugat keimanan keberanian mereka.

Memang lucu! Pelbagai ragam pelajar dapat disaksikan. Ada yang menangis dan menjerit-jerit ketakutan. Ada yang dengan kuat terus berdoa kepada Tuhan minta dijauhkan daripada segala kejahatan. Ada yang terus memegang kuat rakan-rakan sebelah, tidak mahu terpisah. Tak kurang juga ada yang melawan usikan tersebut dengan gigitan dan sepakan!  Sedikit sebanyak, aktiviti sebegini mampu menonjolkan keberanian mereka untuk bertindak dalam keadaan sedemikian.



Hari Terakhir Perkhemahan
Hari terakhir perkhemahan, para peserta dikehendaki membersihkan semula tapak perkhemahan dan juga khemah yang digunakan oleh mereka sepanjang 4 hari tersebut. Khemah yang dicuci akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum disimpan semula ke dalam stor sekolah.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Kerja membersihkan khemah berakhir pada jam 10 pagi dengan selepas itu semua peserta berkumpul di dataran perhimpunan bagi acara penutupan. 

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Kanan Ko-Kurikulum Tingkatan 6, iaitu Cikgu Janting Abau. Acara penutupan juga diselitkan dengan upacara penyampaian hadiah kepada unit beruniform yang memenangi pertandingan yang dianjurkan sepanjang perkhemahan tersebut.


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Pertandingan
1) Pertandingan Gajet - Pertubuhan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM)
2) Pertandingan Pintu Gerbang - Pertubuhan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM)
3) Pertandingan Masakan Ala Rimba - Pengakap
4) Pertandingan Persembahan - Kadet Remaja Sekolah (KRS)

Keseluruhan
Saguhati 1 - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)
Saguhati 2 - Pandu Puteri
Saguhati 3 - Pengakap
Saguhati 4 - Kadet Bomba
Saguhati 5 - Kadet Pertahanan Awam (KAPA)
Ketiga - Kadet Polis
Kedua - Pertubuhan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM)
Johan - Kadet Remaja Sekolah (KRS)


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Luar Bandar No.1 Sibu

Majlis berakhir pada pukul 12.00 tengahari dengan semua peserta kembali ke rumah masing-masing. Sebahagian ibu bapa juga sudah setia menunggu anak masing-masing sambil menyaksikan keletah anak dari tempat menunggu.



Kesimpulan
Ternyata aktiviti perkhemahan seperti ini mampu memberi kesan positif kepada pelajar, terutamanya dari segi kepimpinan, kebolehan untuk berdikari dan juga semangat kerjasama. 

Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu bersama Cikgu Hailmi

Ada pelajar yang nampak macam lemah dan tak bermaya, namun dapat mengikuti perkhemahan ini dengan sangat baik sehingga akhir dan menampakkan perubahan jatidiri yang lebih berkeyakinan. Saya yakin, adik-adik pelajar yang mengikuti perkhemahan ini akan mendapat pengalaman yang sangat berguna buat mereka!


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Kadet Pertahanan Awam KAPA SMK Luar Bandar No.1 Sibu


p/s: Terus rindu dengan peserta dan fasilitator KAPA yang comey-comey, baik-baik dan rajin-rajin belaka setelah 4 hari makan, minum, marah, buat aktiviti dengan mereka. Semoga menjadi kenangan terindah buat kita semua.. ;)