.

.

KARTiKEL

Khamis, 24 Januari 2013

Sambutan Maulidur Rasul 2013 di Sibu Meriah!

Alhamdulillah, pada tahun ini sekolah saya, SMK Luar Bandar No.1 Sibu sekali lagi berjaya menyertai Perarakan Maulidur Rasul 2013 Peringkat Bahagian Sibu, Sarawak yang telah diadakan pada 24 Januari 2013.

Walaupun populasi Muslim di sekolah tersebut hanya terdiri daripada populasi kecil dengan bilangan pelajar Islam hanyalah 47 orang daripada keseluruhan 1400 orang pelajar,  namun atas berkat usaha dan juga kesungguhan para guru, staf sokongan, ibu bapa pelajar dan juga adik-adik pelajar sendiri, maka sekali lagi lah kontingen SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya menyertai acara gilang gemilang itu.  


Peserta Kontigen SMK Luar Bandar No.1 Sibu sempena Sambutan Maulidur Rasul 2013 di Sibu Sarawak

 Namun paling penting bagi para guru, adalah pelajar-pelajar Islam tersebut juga dapat merasai pengalaman untuk menghadiri program bercorak keIslaman seperti demikian, di samping dapat menyemarakkan lagi rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W, Insha Allah.

Kontingen SMK Luar Bandar No.1 Sibu seramai hampir 80 orang peserta bergerak seawal 6 pagi menaiki bas dari sekolah menuju ke Dataran Sibu. Di sana kami telah ditetapkan pada lot tempat yang tertentu bagi memudahkan urusan pergerakan dan laluan perjalanan semasa perarakan nanti. 


Kontingen SMK Luar Bandar No.1 Sibu semasa perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sibu Sarawak
Pada pukul 8.30 pagi, kami memulakan perarakan membawa sepanduk yang dihasilkan mengikut laluan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Jalan utama sekitar Bandar Sibu ditutup haluan buat sementara waktu bagi pengguna kereta, untuk memberi laluan kepada para peserta perarakan tersebut.

Kontingen Kolej Vokasional Sibu semasa perarakan Maulidur Rasul peringkat Sibu Sarawak

Laluan yang telah ditetapkan adalah sejauh hampir 5km! Penat rasa berjalan kaki sejauh itu. Namun semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik pelajar dan juga peserta perarakan yang lain, memberi kekuatan untuk meneruskan langkah demi langkah. 

Para peserta perarakan juga dikehendaki berSelawat ke atas Nabi semasa perjalanan tersebut. Pihak penganjur pula menyediakan beberapa kenderaan bergerak yang memainkan Selawat ke atas Nabi di sepanjang laluan perarakan bagi memeriahkan lagi majlis sambutan.

Pelajar sekolah rendah juga menyertai Perarakan Maulidur Rasul Sibu
Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam itu berakhir di tempat yang sama kami mulakan. Sekalipun pihak sekolah telah menyediakan bekal makan pagi dan tengahari, pihak penganjur berbaik hati memberikan 3 kotak air mineral bagi peserta kontingen membasahkan tekak yang kehausan. 

Alhamdulillah, kami juga menerima berita gembira apabila diumumkan memenangi tempat kedua bagi Pertandingan Sepanduk Tercantik, kategori Sekolah Menengah! Ternyata penyertaan kali ketiga kami berjaya membuahkan hasil. Terima kasih dan Tahniah buat semua yang telah terlibat menjayakan sambutan ini.

  Kontingen SMK Luar Bandar No.1 Sibu bergambar kenangan

Dengan sambutan yang telah berakhir pada pukul 11.00 pagi, tidak menandakan berakhirnya juga rasa sayang dan cinta kami kepada Nabi Muhammad S.A.W Insha Allah. Diharap semangat dan kekuatan tersebut akan terus terpahat selama-selamanya dalam hati adik-adik peserta dan juga peserta perarakan yang lain! 

Insha Allah.

3 ulasan:

  1. Last berarak masa tahun lepas.. rindu betul nak berarak sambil berselawat.. huhu.. :)

    BalasPadam
  2. Ini pun dah lama tak berarak nih.. sebab tahun lepas tak join.. kali nih bila dah dapat join, memang sungguh2 nak berarak.. ;)

    BalasPadam
  3. dah lama gak tak berarak ni. hehe

    BalasPadam